Kriteria calon Presiden FAM
PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang bakal dipilih pada kongres badan induk itu pada Februari tahun depan perlu memiliki karakter hebat dan luar biasa.
Penganalisis sukan, Dr Hasnul Faizal Hushin menggariskan kriteria yang wajar dimiliki bos yang akan mengisi kerusi panas tersebut bagi memacu bola sepak negara ke pentas tertinggi.
Beliau berkata, ia meliputi aspek nilai komersial, berkebajikan, jiwa bola sepak dan integriti selain 'ada kabel' atau mempunyai hubungan baik dengan pemegang taruh tempatan dan di peringkat teratas, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selain persatuan di luar negara.
“Bos baharu di Wisma FAM perlu seseorang yang berpengetahuan dan memiliki pengalaman dalam dunia bola sepak. Malah perlu mahir dalam urus tadbir serta tatakelola yang baik.
“Dunia bola sepak era moden juga berbeza berbanding dahulu. Sukan ini mempunyai nilai kormesial yang tinggi. Malah suara kita juga wajar di dengar sehingga ke FIFA.
“Mampukah liga di Malaysia menarik pelabur dan memberi nilai tambah kepada sukan nombor satu negara ini. Ini antara tanggungjawab besar yang perlu digalas presiden baharu nanti,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Tan Sri Hamidin Mohd Amin awal bulan ini mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan presiden badan induk itu pada kongres 15 Februari 2025 selepas dipilih pada Julai 2018.
Hasnul menjelaskan bahawa kemelut kewangan yang menghantui kelab dan tunggakan gaji pemain juga perlu diberi perhatian serius agar ia tidak menjadi barah yang sukar diubati dalam kancah bola sepak negara.
“Banyak pasukan yang sudah tutup kedai sebab tidak mampu bertahan kerana masalah kewangan. Ia terjadi kerana kurang memanfaatkan nilai komersial yang boleh dieksploitasi dengan sebaik mungkin,” katanya.
Tambah beliau, jiwa bola sepak dan pengetahuan pentadbiran meliputi aspek kejurulatihan, pengurusan skuad dan sains sukan juga mampu menjadi sinergi yang utuh buat bakal presiden baharu.
“Integriti untuk memajukan bola sepak negara bukan untuk kepentingan diri juga wajar disemat dalam setiap tokoh yang mahu mengisi kerusi panas ini,” katanya.
Sebagai rekod, calon yang berminat untuk mengisi jawatan No. 1 itu perlu memperoleh enam sokongan bagi melayakkan diri masuk gelanggang.
Bagi timbalan presiden pula, tokoh itu memerlukan lima pencalonan diikuti empat untuk jawatan naib presiden dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) dua pencalonan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!