KLFA cari jalan terbaik

Syed Yazid. Laporan Sukan Sinar pada Jumaat.
Syed Yazid. Laporan Sukan Sinar pada Jumaat.
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) optimis mengenai jalan penyelesaian berhubung isu tunggakan gaji kelab gabungannya, Kuala Lumpur (KL) Rovers yang bersaing dalam kancah Liga A1 Semi Pro.

Presidennya, Syed Yazid Syed Omar berkata, perbincangan dengan beberapa entiti yang berminat untuk mengambil alih kelab tersebut giat dijalankan.

Beliau bagaimanapun memberitahu, proses tersebut memerlukan beberapa tempoh bagi mencapai persetujuan bersama demi kepentingan pelbagai pihak.

“Ada beberapa pihak yang berminat (membeli KL Rovers). Rundingan masih berjalan. Mungkin antara satu hingga tiga bulan diperlukan untuk diuruskan.

“Kita juga melihat beberapa alternatif dan berharap ia menghasilkan keputusan positif. Situasi menang-menang,” katanya kepada Sukan Harian pada Jumaat.

Beliau mengulas mengenai laporan yang dibuat oleh jurulatih KL Rovers, Wan Mustaffa Wan Ismail berhubung kemelut kewangan yang melanda kelab itu.

Wan Mustaffa sebelum ini mengemukakan laporan kepada Liga Bolasepak Amatur (AFL) dan Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) serta Bahagian Undang-undang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Dalam pada itu, Syed Yazid menjelaskan enggan lepas tangan dengan isu tersebut kerana ia melibatkan kepimpinan terdahulu.

Artikel Berkaitan:

“Kita enggan tuding jari, tetapi akan cuba usahakan yang terbaik,” katanya.

Sebagai rekod Syed Yazid mengambil alih kerusi panas tersebut selepas dipilih sebagai Presiden KLFA bagi penggal 2024/28 pada kongres badan induk itu pada Oktober lalu.

Syed Yazid yang juga Ahli Jawatankuasa FAM meraih 15 undi sekali gus mengetepikan penyandang Presiden KLFA, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid yang mendapat 12 undi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!