Jasa terpahat dalam ingatan
[DIKEMAS KINI] INI adalah antara tokoh dan figura tersohor dalam pelbagai bidang seperti politik, perniagaan, pendidikan dan kakitangan awam yang meninggalkan kita pada tahun ini.
17 April - Tan Sri Joseph Kurup
Beliau yang merupakan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada usia 80 tahun, kira-kira jam 7 petang di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.
20 April - Tun Mohammed Hanif Omar
Bekas Ketua Polis Negara (KPN) itu meninggal dunia pada jam 2.15 pagi. Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.
4 Jun - Pyanhabib
Penyair dan pelakon, Mohd Supyan Abdul Rahman menghembuskan nafas terakhir pada usia 66 tahun di kediamannya di Hulu Kelang, Selangor. Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lembah Keramat, AU4, Kuala Lumpur.
8 Jun - Tan Sri Musa Mohamad
Bekas Menteri Pendidikan yang juga bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia itu meninggal dunia pada usia 81 akibat kanser darah. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 7.12 malam di sebuah pusat perubatan swasta di Petaling Jaya.
29 Jun - Dr Syed Husin Ali
Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR itu meninggal dunia di Hospital Selayang pada usia 88 tahun. Jenazah dikebumikan di tanah perkuburan Kota Damansara.
27 Julai - Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman
Bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat itu meninggal dunia pada jam 11.23 malam ketika usia 75 tahun. Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam, Selangor.
20 September - Datuk Eddin Syazlee Shith
Bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia meninggal dunia pada 7.10 pagi di rumahnya di Bukit Chedang, Seremban. Kesihatan penasihat Perikatan Nasional (PN) negeri berusia 50 tahun itu mula merosot sejak lima bulan dan menerima rawatan susulan di hospital swasta.
15 Oktober - Datuk Dr Hiew King Cheu
Bekas Ahli Parlimen Kota Kinabalu meninggal dunia awal pada usia 72 tahun ketika menjalani rawatan kanser paru-paru di Hospital Queen Elizabeth II (HQE2), Kota Kinabalu, Sabah.
20 Oktober - Datuk Dr Abdul Halim Ismail
Tokoh Perbankan Islam Malaysia meninggal dunia pada usia 85 tahun dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.
7 November - Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling
Pakar sejarah negara tersebut meninggal dunia di Hospital Shah Alam, jam 4.30 pagi. Allahyarham ketika itu berumur 80 tahun dibawa ke unit kecemasan oleh keluarganya selepas tahap kesihatannya semakin menurun akibat komplikasi kencing manis yang dialaminya.
13 November - Tun Daim Zainuddin
Bekas Menteri Kewangan itu meninggal dunia di Hospital Assunta, Petaling Jaya pada di usia 86 tahun. Allahyarham meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital kerana mengalami strok.
15 November - Datuk Yeoh Choo Hock
Tokoh sukan bola keranjang dan pentadbir sukan antarabangsa ternama meninggal dunia di sebuah hospital di Cyberjaya pada usia 80 tahun. Mendiang dimasukkan ke hospital kerana kesukaran bernafas.
24 November - Tan Sri Ahmad Nawab
Komposer veteran tersebut menghembuskan nafas terakhir pada usia 92 tahun dan meninggal dunia di kediaman beliau di Taman Melewar, Gombak sekitar pukul 3.15 petang akibat sesak nafas.
8 Disember - Aspalela Abdullah
Penyanyi lagu asli itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada usia 80 tahun, jam 10 pagi. Pemergian Allahyarham secara mengejut selepas jatuh di bilik air di kediamannya di Taman Melati dalam pukul 7 pagi.
12 Disember- Muhammad Said Jonit
Bekas ADUN Mahkota itu menghembuskan nafas terakhirnya jam 7 pagi di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang.
14 Disember - Datuk Rosnah Abd Majid
BEKAS ahli politik itu meninggal dunia pada usia 71 tahun di rumahnya di Teluk Bahang, Pulau Pinang akibat sakit buah pinggang. Allahyarham pernah membuat pembedahan pemindahan buah pinggang di China pada tahun 2001.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!