Penunggang motosikal maut, polis buru pemandu lori larikan diri

Kemalangan melibatkan motosikal jenis Honda RS150R dengan sebuah lori yang masih belum dikenal pasti. Foto IPD Kulai
Kemalangan melibatkan motosikal jenis Honda RS150R dengan sebuah lori yang masih belum dikenal pasti. Foto IPD Kulai
A
A
A

JOHOR BAHRU – Polis buru pemandu lori yang dipercayai terbabit dalam kemalangan melibatkan kematian seorang penunggang motosikal di kilometer (KM) 29.3 Lebuhraya Linkedua (Arah Tol Senai Utara) pada Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan berkenaan sekitar jam 4.30 petang melibatkan motosikal jenis Honda RS150R dengan sebuah lori yang masih belum dikenal pasti.

“Siasatan awal polis mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal Honda RS150R yang ditunggang lelaki warga tempatan berusia 30 tahun cuba mengelak lori yang berada di lorong kanan.

“Tindakannya itu telah menyebabkannya hilang kawalan hingga melanggar besi pembahagi jalan di bahagian kanan.

Motosikal jenis RS150R yang terbabit kemalangan. Foto IPD Kulai
Motosikal jenis RS150R yang terbabit kemalangan. Foto IPD Kulai

“Akibatnya, penunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi sementara pemandu lori terbabit pula dilaporkan melarikan diri,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan tersebut boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim di talian 017-7573507 atau hadir ke Bahagian Siastan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai, bagi membantu siasatan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!