Tular surat Pas arah ahli berhimpun 'solidariti bersama Najib'

Tular surat Pas arah ahli berhimpun.
Tular surat Pas arah ahli berhimpun.
A
A
A

SHAH ALAM - Tular di media sosial sepucuk surat Pas mengarah ahlinya berhimpun bagi 'Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan' pada 6 Januari depan.

Surat itu dikeluarkan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan kepada pesuruhjaya Pas Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang serta setiausaha sayap-sayap parti, perhimpunan tersebut akan diadakan mulai 9 pagi di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman, Putrajaya.

Menurutnya, himpunan berkenaan diadakan bagi menunjukkan solidariti bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung titah adendum melibatkan tahanan rumah.

"Sehubungan itu saudara-saudari dipinta menggerakkan ahli Pas bawah pentadbiran masing-masing supaya menghadiri himpunan tersebut," katanya dalam surat berkenaan.

Sebelum ini, dilaporkan Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari depan untuk mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah adendum.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh bekas bekas perdana menteri itu untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan titah addendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.

Menurut surat itu lagi, Takiyuddin turut menggesa ahli-ahli Pas menghadiri perhimpunan itu demi menunjukkan suatu isyarat nyata kepada kerajaan Madani tentang keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang yang dituntut rakyat.

Sinar Harian sedang mendapatkan Takiyuddin untuk pengesahan dan maklumat lanjut.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!