Gadis maut motosikal terbabas turun jejambat

Mangsa cuba dibawa keluar dari longkang oleh anggota bomba. Foto BBP Larkin
Mangsa cuba dibawa keluar dari longkang oleh anggota bomba. Foto BBP Larkin
A
A
A

JOHOR BAHRU – [DIKEMAS KINI] Seorang gadis maut sementara seorang lelaki cedera setelah motosikal yang dinaiki terbabas di kilometer (KM) 8, Jalan Johor Bahru-Air Hitam (Arah Johor Bahru), di sini, pada lewat malam Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, kemalangan dipercayai berlaku pada jam 11.45 malam di lokasi berkenaan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah motosikal jenis Suzuki GSX-S150 yang ditunggang oleh seorang lelaki berusia 33 tahun dan dibonceng seorang perempuan berusia 19 tahun dari arah Skudai menuju Johor Bahru telah hilang kawalan lalu terbabas di lokasi terbabit.

Keadaan motosikal mangsa. Foto BBP Larkin
Keadaan motosikal mangsa. Foto BBP Larkin

“Akibatnya, pembonceng mengalami kecederaan dalaman dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Penunggang motosikal pula mengalami kecederaan di tangan dan kaki kiri,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini supaya menghubungi dan menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Zulhisyam Aziz di talian 019-7432966.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!