Cubaan jual aset MAHB satu pengkhianatan terhadap rakyat - Pas

Aireroshairi
Aireroshairi
A
A
A

KUANTAN - Pas Pahang menolak dan mengutuk sekeras-kerasnya cubaan Kerajaan Madani untuk menjual aset strategik negara, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), kepada pihak asing.

Ketua Penerangannya, Aireroshairi Roslan berkata, langkah tersebut sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan kedaulatan negara.

Beliau turut mempersoalkan motif di sebalik cadangan ini dan memberi amaran bahawa ia mungkin membuka ruang kepada penjualan aset-aset strategik lain pada masa depan.

“Apakah selepas ini Petronas pula akan dijual? Atau Tenaga Nasional Berhad (TNB)?

"Adakah kerajaan sudah hilang akal dan pertimbangan waras dalam melindungi kepentingan strategik negara?,” katanya dalam satu kenyataan.

Aireroshairi turut menjelaskan keputusan untuk menjual MAHB adalah tidak wajar kerana prestasi syarikat itu yang cemerlang.

Beliau menambah, MAHB dilaporkan mencatatkan jumlah penumpang sebanyak 101.2 juta orang dan keuntungan bersih meningkat 137 peratus kepada RM606.3 juta sehingga September lalu.

“Tindakan menjual aset bernilai tinggi seperti MAHB menunjukkan adanya agenda tersembunyi yang mencurigakan.

Artikel Berkaitan:

"Lebih membimbangkan, kesemua lima Ahli Lembaga Pengarah Bebas Bukan Eksekutif MAHB sendiri tidak bersetuju dengan cadangan ini. Jadi, apa sebenarnya yang cuba disembunyikan oleh kerajaan?” tegasnya.

Aireroshairi berkata, Pas Pahang menggesa rakyat untuk menilai dengan teliti keputusan ini, yang berpotensi menjejaskan kedaulatan ekonomi negara.

"Jangan biarkan 'penjajahan ekonomi baharu' ini berleluasa. MAHB bukan sekadar syarikat, ia adalah nadi pengangkutan udara negara yang mengawal 39 lapangan terbang.

"Adakah kita sanggup menyerahkan kuasa kawalan sektor strategik ini kepada pihak asing?,"ujar beliau lagi.

Selain itu, beliau juga mendesak Kerajaan Madani agar memberi penjelasan telus mengenai isu tersebut.

“Saya mencabar kerajaan untuk mendedahkan siapakah dalang sebenar di sebalik agenda penjualan ini," katanya.

Pada 12 Disember lalu, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal mendakwa memperoleh dokumen yang mengandungi pandangan pihak berkepentingan yang menentang penjualan saham MAHB dengan alasan tidak bersetuju dengan harga saham.

Beliau berkata, berdasarkan dokumen itu, Malaysia pasti akan mengalami kerugian akibat penjualan itu kerana harga RM7 sesaham adalah terlalu murah dan tidak menggambarkan potensi dan nilai sebenar yang boleh disumbangkan oleh MAHB kepada ekonomi negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!