Notis arah periksa kenderaan perdagangan paling banyak dikeluarkan

JPJ melaksanakan Op Gempur Teknikal ke atas kenderaan perdagangan sejak Rabu lalu. Foto JPJ Selangor
JPJ melaksanakan Op Gempur Teknikal ke atas kenderaan perdagangan sejak Rabu lalu. Foto JPJ Selangor
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Notis arah periksa paling banyak direkodkan sepanjang tiga hari pelaksanaan Op Gempur Teknikal ke atas kenderaan perdagangan di seluruh negara sejak Rabu lalu.

Muhammad Kifli Ma Hassan
Muhammad Kifli Ma Hassan

Pengarah Kanan Penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, jumlah itu membabitkan 352 notis untuk tindakan mengikut Seksyen 61(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya, selain itu, JPJ turut mengeluarkan 322 notis PG1 iaitu larangan penggunaan kenderaan.

"Lain-lain yang direkodkan seperti 65 notis arah timbang mengikut Seksyen 63(3) APJ 1987, 14 notis panggilan temu siasat di bawah Seksyen 114 APJ 1987 serta 10 notis mengikut Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334).

"Selain itu, kita turut mengeluarkan 1,355 saman atas pelbagai kesalahan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata, operasi setakat Jumaat itu telah memeriksa sebanyak 6,185 kenderaan.

Artikel Berkaitan:

Antara kesalahan yang direkodkan JPJ sepanjang pelaksanaan Op Gempur Teknikal sejak Rabu lalu. Foto JPJ Selangor
Antara kesalahan yang direkodkan JPJ sepanjang pelaksanaan Op Gempur Teknikal sejak Rabu lalu. Foto JPJ Selangor

Tambahnya, hasil pemeriksaan telah bertindak menyita 12 kenderaan perdagangan membabitkan 11 kenderaan barangan serta sebuah kenderaan perkhidmatan awam.

Sebelum itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, Ops Gempur Teknikal itu akan menumpukan kepada kesalahan lebih muatan, teknikal, dokumentasi, lalu lintas dan kesalahan teknikal pembuatan serta penggunaan kenderaan.

JPJ menegaskan tiada kompromi terhadap pemandu atau pemilik kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan di bawah APJ 1987 dan Kaedah-Kaedah di bawahnya, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

JPJ memandang serius dengan trend kemalangan yang melibatkan kenderaan perdagangan sehingga menyebabkan kematian pengguna jalan raya lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!