JKNT akan keluar kenyataan isu dakwaan bayi terjatuh katil - Exco
KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri masih menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) berhubung dakwaan kecuaian daripada kakitangan hospital menyebabkan seorang bayi perempuan terjatuh katil sehingga kerap diserang sawan.
Exco Kerajaan Tempatan Perumahan, dan Kesihatan Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya telah berhubung dengan pihak JKNT bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara tersebut.
"Saya telah berhubung dengan pihak JKNT bagi mendapatkan laporan mengenai perkara itu sebelum tindakan susulan diambil.
"Jadi kita tunggu laporan lengkap mengenai dakwaan tersebut. Kenyataan akan dikeluarkan oleh pihak JKNT dalam masa terdekat ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Wan Sukairi berkata, pihaknya akan meneliti laporan insiden tersebut sebelum tindakan susulan diambil termasuk dakwaan punca katil bayi itu secara tiba-tiba terbalik disebabkan keadaan jalan tidak rata.
Pada Khamis, seorang peniaga membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di sini mendakwa kecuaian kakitangan hospital menyebabkan bayinya terjatuh katil sehingga kerap diserang sawan.
Muhammad Syarifuddin Manan, 24, berkata, kejadian berlaku pada 17 November lalu ketika anak sulung perempuannya itu baru berusia dua hari.
Muhammad Syarifuddin berkata, ketika kejadian, bayinya yang disahkan menghidap jaundis dibawa oleh jururawat ke kenderaan untuk dipindahkan ke hospital lain namun ketika proses memindahkan itu, bayinya terjatuh dari katil bayi menyebabkan kepala bayi berkenaan terhentak ke atas jalan.
Muhammad Syarifuddin berkata, bayinya yang seberat 3.3 kilogram (kg) dilahirkan normal dan sihat sebelum ditimpa insiden itu.
Sementara itu, peguamnya, Mohd Hazwan Hamidun berkata, pihaknya berharap mendapat penjelasan dari hospital berkenaan dalam tempoh dua minggu selepas laporan itu dibuat.
Mohd Hazwan berkata, laporan polis dibuat pada Khamis adalah laporan kedua selepas laporan pertama dibuat sejurus insiden berlaku pada 17 November lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!