4 rakyat Malaysia cedera bas terbabas di Norway – Wisma Putra
SHAH ALAM - Kementerian Luar Negeri atau Wisma Putra mengesahkan empat rakyat Malaysia cedera dalam kemalangan bas berhampiran Tasik Pasresvatnet, Norway pada Khamis lalu.
Wisma Putra dalam kenyataan berkata, keempat-empat individu itu mengalami kecederaan ringan dan ditempatkan di Hotel Thon di Lofoten.
“Empat warga Malaysia disahkan menginap di Thon Hotel, mereka telah disediakan dengan penginapan.
“Walau bagaimanapun, disebabkan siasatan sedang dijalankan, penumpang ini tidak dibenarkan mengakses telefon atau komunikasi langsung dengan dunia luar.
“Kakitangan hotel juga dilarang memulakan hubungan dengan penumpang,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan, tiga maut manakala empat lagi cedera parah selepas sebuah bas terbabas lalu terjunam ke dalam tasik di utara Norway.
Daripada 58 penumpang, tiga kematian dilaporkan manakala empat lagi cedera parah dan kini dirawat di Hospital Stokmarknes.
Sementara itu, Wisma Putra memaklumkan, pasukan konsular Kedutaan sedang giat bekerjasama dengan pihak berkuasa Norway untuk menentukan jumlah rakyat Malaysia terlibat dan memberikan bantuan diperlukan.
Tambahnya, siasatan dalam keadaan salji lebat, angin kencang dan jarak kira-kira 1,500 kilometer (KM) dari Oslo menimbulkan cabaran logistik yang signifikan bagi mengakses serta menyokong individu terjejas.
“Walaupun menghadapi cabaran ini, Wisma Putra dan Kedutaan Malaysia tetap teguh dengan komitmen untuk membantu warga Malaysia yang terlibat.
“Kementerian akan terus memantau keadaan dengan teliti dan memberikan kemas kini apabila maklumat baharu tersedia,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!