[VIDEO] Myvi buat hal lagi
SHAH ALAM - Tindakan seorang pemandu kereta Myvi yang menggunakan laluan berumput bagi mengelak kesesakan lalu lintas dikecam netizen dengan menyifatkan tindakan terbabit sebagai mementingkan diri sendiri.
Bukan itu sahaja, ia juga dilihat keterlaluan dan menjejaskan imej pengguna Myvi lain, apatah lagi sebelum ini beberapa isu turut dikaitkan dengan pengguna Myvi.
"Kepada pemilik Myvi, tolonglah berhemah sikit. Jangan memalukan kami yang pakai Myvi mengikut peraturan. Akibat tindakan kamu inilah yang merosakkan nama pengguna Myvi," luah @Tini Uzana melalui laman Twitter.
Osman Rahimi pula berkata, "Kenapalah asal yang buat hal dan tular ini mesti kereta Myvi, apa tiada kereta lain ke? Tolonglah jaga nama baik pemilik Myvi yang lain. Kebelakangan ini, asyik kereta Myvi sahaja buat hal."
Terdahulu, perbuatan itu dirakam dan dikongsikan @AkeemSharyzal menerusi Twitter yang tular di media sosial.
Menerusi rakaman tersebut, sebuah Myvi dipandu di atas laluan berumput di satu lokasi yang tidak didedahkan pemilik video.
Lebih mencuri perhatian netizen apabila Myvi berkenaan dengan selamba memotong kenderaan yang bergerak perlahan disebabkan kesesakan lalu lintas.
Perkongsian video berdurasi 7 saat itu meraih 465,600 tontonan di Twitter sejak dimuat naik, baru-baru ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!