Cadangan PKR ketuai PH Johor: Pemuda Amanah tegur AMK

AFIF
AFIF
A
A
A

JOHOR BAHRU - Keharmonian dalam Pakatan Harapan (PH) perlu dijaga dengan tidak menjadikan kontroversi politik sebagai cara meraih populariti.

Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Afif Hamid berkata, setiap keputusan dalam gabungan PH merupakan hasil perbincangan kolektif dan telah melalui pemilihan.

Justeru, beliau mengingatkan rakan sejawatannya daripada PKR negeri, Mohammad Salmin Mohamad agar memahami perkara berkenaan susulan cadangan pelantikan PKR sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor bermula tahun depan.

"Fokus utama kita (PH) bukanlah kepada siapa yang memimpin, tetapi bagaimana gabungan ini dapat terus memberi khidmat terbaik kepada rakyat Johor.

"Oleh itu, marilah kita bersama-sama memberi tumpuan kepada usaha membantu menyelesaikan isu-isu rakyat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan dan pembangunan infrastruktur di Johor.

"Kepentingan rakyat harus sentiasa menjadi keutamaan dalam apa jua tindakan kita," katanya dalam kenyataan di pada Sabtu.

Menurut Afif, pertelingkahan terbuka hanya akan melemahkan hubungan antara komponen gabungan berkenaan selain mengalihkan perhatian daripada isu sebenar yang dihadapi rakyat.

"Dalam semangat kebersamaan, semua parti komponen perlu sentiasa menjaga keharmonian dan kerjasama.

Artikel Berkaitan:

"Keutamaan kita haruslah kepada perpaduan, integriti, dan keberkesanan dalam menjalankan amanah yang diberikan.

"Dengan kerjasama erat antara semua parti komponen, PH Johor mampu terus maju ke hadapan dan kekal sebagai pilihan rakyat," katanya.

Sebelum itu Mohammad Salmin dalam hantaran di Facebook, berkata, PKR telah membuktikan kekuatannya dengan memenangi jumlah kerusi Parlimen terbanyak dalam kalangan parti-parti PH sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 dan PRU15 pada 2022.

Oleh itu, beliau mencadangkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerajui Pakatan Harapan (PH) di peringkat negeri dengan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh dilantik sebagai pengerusi bermula tahun depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!