Bantuan bayar denda dibolehkan jika pesalah insaf - Pejabat Mufti
SHAH ALAM - Bantuan untuk membayar denda bagi pihak disabitkan di mahkamah boleh dilakukan dengan syarat individu itu telah menginsafi perbuatan salah yang dilakukan.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam kenyataan berkata, ia bagi memastikan sumbangan itu tidak digunakan untuk mengulangi kesalahannya.
Menurutnya, sumbangan diberikan juga bertujuan ganti rugi dan bukan untuk menyokong perbuatan salahnya.
"Secara asasnya, hukum membantu seseorang adalah harus sama ada bantuan tersebut berbentuk fizikal mahupun material.
"Namun begitu, ada kalanya sesuatu bantuan tersebut dilarang kerana perkara-perkara lain seperti pemberian yang boleh mendorong kepada perbuatan salah, membawa kemudaratan atau sebagainya," katanya pada Sabtu.
Kenyataan itu bagi menjawab pertanyaan warganet berkenaan isu hukum minta kutipan derma untuk bayar saman fitnah.
Sebelum ini, tersebar surat pekeliling yang dihantar kepada pemimpin utama pusat, negeri dan sayap Pas memohon ‘derma jihad’ bagi membiayai Siti Mastura membayar RM825,000 segera, seperti diperintahkan oleh mahkamah.
Menurut surat berkenaan, kegagalan membayar saman akan menyebabkan plaintif mengambil tindakan prosiding kebankrapan yang boleh menyebabkan Siti Mastura hilang kelayakan sebagai wakil rakyat dan kerusinya akan dikosongkan.
Surat tersebut memaklumkan, Pas telah membincangkan perkara itu dengan teliti dan memutuskan semua peringkat perlu turut sama mengambil tanggungjawab menyelesaikan tuntutan tersebut.
Menurut kenyataan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan lagi, secara asasnya sesiapa sahaja boleh membantu untuk membayar denda atau saman yang dikenakan selagi mana orang yang memberikan sumbangan tersebut tidak bermaksud untuk menggalakkan kesalahan berkenaan.
"Begitu juga seseorang yang ingin membantu orang lain dalam pembayaran denda atau saman, dia hendaklah memastikan bahawa orang tersebut telah menginsafi perbuatan salah yang dilakukan bagi memastikan sumbangan itu tidak digunakan untuk mengulangi kesalahannya.
"Jika tidak, pemberian bantuan tersebut akan menjadikan seseorang yang melakukan kesalahan itu akan memandang ringan terhadap kesalahan yang dilakukan.
"Sebaliknya jika seseorang yang memberikan sumbangan tersebut bertujuan untuk mendorong pelaku sesuatu kesalahan tersebut mengulanginya lagi, maka dalam keadaan ini pemberian sumbangan tersebut adalah haram," katanya.
Jelasnya, hal demikian berdasarkan kepada firman ALLAH SWT, Surah al-Ma’idah (2) yang bermaksud, dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!