Perkeso NS sasar 15,000 bekerja sendiri buat caruman
SEREMBAN - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri Sembilan menyasarkan seramai 15,000 golongan bekerja sendiri di negeri ini mencarum dengan agensi itu menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, J Arul Kumar berkata, sejak skim itu dilaksanakan pada Jun 2017, seramai 3,123 individu bekerja sendiri dari pelbagai sektor di negeri ini mendaftar.
"Seramai 81,000 individu yang direkodkan bekerja sendiri di negeri ini. Sektor pengangkutan penumpang mencatat jumlah pendaftaran paling tinggi iaitu seramai 106 orang diikuti perkhidmatan dan sokongan 55 orang dan penjaja 15 orang.
"Ini menunjukkan kesedaran masyarakat terhadap keselamatan sosial atau kemalangan berkaitan bencana pekerjaan masih rendah," katanya pada sidang akhbar Op Sedar Pekerjaan Sendiri Siri 4 di Pasar Besar Seremban hari ini.
Menurutnya, kerajaan berusaha melaksanakan SKSPS supaya mereka dan tanggungan dilindungi jika berlaku perkara tidak diingini.
Sementara itu katanya, mulai 1 Januari lalu, perlindungan skim ini diperluaskan kepada 19 sektor tidak formal pekerjaan sendiri berbanding sebelum ini diwajibkan ke atas sektor pengangkutan penumpang iaitu pemandu teksi, e-hailing dan pemandu bas.
"Individu bekerja sendiri yang mencarum di bawah skim ini akan mendapat perlindungan bermula dari tarikh dan masa caruman dibayar dan diperakui menerusi resit bayaran caruman.
"Caruman serendah RM13.10 sebulan yang ditetapkan bukan alasan tidak mampu untuk mencarum. Kadar ini antara empat opsyen di sediakan mengikut anggaran pendapatan bulanan seseorang," katanya.
Selain itu Pengarah Perkeso negeri, M Nallusamy berkata, pihaknya akan menganjurkan lebih banyak program kempen kesedaran di tempat tumpuan ramai.
Katanya, pihaknya juga sedia bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi penerangan berhubung perkara itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!