'Jika tak puas hati, tunggu pemilihan dua tahun lagi' - Ewon
PENAMPANG - Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick berhasrat untuk terus maju ke hadapan melaksanakan mandat yang diberikan terhadapnya sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah.
Menurut Ahli Parlimen Penampang itu, jika ada pihak yang tidak berpuas hati dengan pemilihannya sebagai Pengerusi PH Sabah, ia perlu dilakukan dalam tempoh dua tahun lagi dalam pemilihan akan datang.
"Saya mahu 'move on', saya mahu melaksanakan mandat yang diberikan kepada saya sebaik-baiknya.
"Sekiranya masih ada yang tidak berpuas hati, maka tempoh dua tahun itu bolehlah dibawa semula dalam pemilihan nanti.
"Saat itulah masa yang sesuai untuk menilai kepimpinan saya," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Krismas di Buhavan Square di sini pada Sabtu.
Ewon berkata demikian ketika ditanya mengenai isu pemilihan Pengerusi PH Sabah sepatutnya milik kuota Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut susulan rakan dalam gabungan telahpun membuat ulasan mengenainya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan jawatan bagi Pengerusi PH Sabah mungkin sekali lagi akan menyaksikan perubahan.
Proses tersebut masih sedang berjalan di mana perbincangan dilakukan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Biro Politik.
Perkara itu timbul selepas desas desus bahawa pemilihan Ewon tidak dipersetujui susulan kouta tersebut sepatutnya milik PKR bagi di negeri Sabah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!