Penganjur Sukan SEA 2025 tambah jumlah acara di luar jangkaan - MOM

Mohd Nazifuddin
Mohd Nazifuddin
A
A
A

SUKAN SEA 2025 di Thailand berpotensi menjadi edisi yang menawarkan jumlah pingat emas terbanyak, dengan 585 acara dijangka dipertandingkan dari 9 hingga 20 Disember di Bangkok, Chonburi, dan Songkhla.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata, penganjur telah membuat beberapa penambahan dan perubahan acara di luar jangkaan semasa mesyuarat maya yang diadakan minggu lepas.

"Terdapat perbincangan di mana penganjur memaklumkan tentang pertambahan acara, pertukaran nama, dan perubahan kelas dalam kategori berat.

"Dengan itu, jumlah acara bertambah kepada 585, walaupun jumlah jenis sukan yang dipertandingkan masih kekal 50. Kami berharap keputusan ini adalah muktamad,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Malaysia Kidslympic 2024 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut senarai terbaharu, sebanyak 11 acara telah digugurkan, manakala 16 acara baharu ditambah.

Antara acara yang baharu disenaraikan ialah 20km jalan kaki dan larian 3,000m lari berhalangan lelaki dan wanita, menjadikan jumlah pingat emas dalam olahraga sebanyak 47.

Mohd Nazifuddin berkata, perubahan turut melibatkan sukan gimnastik, kanu, berbasikal, e-sukan, pencak silat, dan judo.

Menurut piagam Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF), penyertaan minimum empat negara diperlukan bagi setiap sukan atau acara yang dipertandingkan dalam temasya dwitahunan itu.

Artikel Berkaitan:

Pada edisi lepas di Kemboja, sebanyak 580 acara melibatkan 36 jenis sukan dipertandingkan, manakala edisi 2021 di Vietnam dan 2019 di Filipina masing-masing menyaksikan 523 acara (40 sukan) dan 530 acara (56 sukan).

Ini jauh lebih tinggi berbanding 329 acara dari 39 jenis sukan yang dipertandingkan di Olimpik Paris 2024.

Di sebalik 580 pingat emas yang dipertandingkan di Sukan SEA Kemboja, kontinjen Malaysia mencatatkan sejarah hitam dengan pencapaian terburuk, menduduki tempat ketujuh selepas meraih 34 pingat emas, 45 perak, dan 97 gangsa, berbanding sasaran 40 emas. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!