Hukuman sebat di khalayak ramai tidak bangkit isu Islamofobia - JKSM
SHAH ALAM - Pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai tidak membangkitkan isu Islamofobia kerana kehadiran pihak luar untuk menyaksikan hukuman tersebut tertakluk kebenaran Mahkamah Syariah.
Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Mohd Amran Mat Zain berkata, prosedur operasi standard (SOP) menetapkan bahawa kehadiran khalayak adalah sangat terhad.
Jelas beliau, ia tertakluk kepada perintah mahkamah yang mana ia hanya boleh disaksikan Pegawai Kehakiman Syariah iaitu seorang hakim syarie atau pegawai yang dilantik untuk memastikan hukuman dilaksana mengikut peraturan ditetapkan, selain seorang pendakwa yang bertanggungjawab dalam kes tersebut serta orang difikirkan patut hadir oleh mahkamah.
“Kehadiran pihak lain bergantung kepada budi bicara dan arahan mahkamah yang biasanya mengambil kira sensitiviti dan keperluan menjaga maruah serta keselamatan semua pihak.
“SOP hukuman terbabit tidak menyebut tentang kehadiran khalayak awam secara umum, lebih-lebih lagi dalam jumlah besar kerana menekankan aspek privasi, pengurusan tertib dan pematuhan kepada undang-undang serta etika," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini dilaporkan, tukang rumah, Mohd Affendi Awang, 42, menjadi individu pertama dihukum dengan enam sebatan di khalayak ramai di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu pada Jumaat.
Hukuman itu diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu pada 20 November lalu setelah lelaki terbabit mengaku salah atas kesalahan khalwat berulang mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.
Sebelum itu, dia pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman pada 11 Julai 2023.
Mengulas lanjut, Mohd Amran berkata, tempat pelaksanaan hukuman sebatan di luar penjara bagi Terengganu telah ditetapkan secara rasmi di bawah perenggan 125(3)(c) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001.
Menurutnya, antara lokasi yang dinyatakan dalam warta kerajaan Terengganu ialah Masjid Abidin, Masjid A-Muktafi Billah Shah dan beberapa masjid utama lain bagi memastikan hukuman dapat dilakukan dalam persekitaran tertutup dan terkawal.
"Lokasi hukuman telah ditetapkan di masjid. Maka pasti ia hanya disaksikan oleh orang Islam sahaja dan jelas sekali hukuman berkenaan bagi menyedarkan umat Islam untuk tidak melakukan kesalahan sama.
“Saya juga percaya dengan hukuman sebatan syariah ini akan memberi maklumat dan pengetahuan kepada masyarakat bahawa ia berbeza dengan sebatan sivil,” katanya.
Tambah Mohd Amran, hukuman itu bukan bertujuan menghukum secara kejam, sebaliknya untuk mendidik, mencegah dan menyedarkan masyarakat tentang kepentingan menjaga nilai-nilai agama.
"Ia dijalankan dengan mengambil kira prinsip kemanusiaan serta dilakukan dengan penuh etika.
“Pegawai perubatan juga akan memastikan keadaan kesihatan pesalah sebelum dan selepas pelaksanaan hukuman, malah alat sebatan juga direka khas untuk mengurangkan risiko kecederaan fizikal,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!