Kelantan bakal contohi Terengganu sebat di khalayak umum

Lokasi hukuman sebat di khalayak umum dilakukan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Terengganu. Gambar kecil: Mohd Asri
Lokasi hukuman sebat di khalayak umum dilakukan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Terengganu. Gambar kecil: Mohd Asri
A
A
A

KOTA BHARU - Kelantan bakal mengikut jejak langkah Terengganu dalam melaksanakan hukuman sebatan syariah di khalayak umum.

Exco Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Asri Mat Daud, berkata, pihaknya ketika ini sedang meneliti prosedur operasi standard (SOP) yang bertepatan sebelum membuat keputusan untuk melaksanakan hukuman sebat di hadapan orang ramai.

“Pada asasnya kerajaan negeri Kelantan juga sudah meluluskan perkara yang sama melalui Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 Pindaan 2017 yang membolehkan hukuman sebat bagi pesalah dijalankan di khalayak ramai.

“Cuma SOP sedang diteliti dan buat masa ini sebatan masih tertutup dalam penjara tetapi semangat pelaksanaan seperti dilakukan oleh Terengganu Insya-ALLAH akan diusahakan jua di Kelantan apabila mempunyai SOP terbaik nanti,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, Pemimpin Pas, Datuk Hashim Jasin menggesa semua negeri di bawah pentadbiran Pas melaksanakan hukuman sebat secara terbuka sebagai sebahagian daripada hukuman syariah, susulan pelaksanaannya di Terengganu semalam.

Beliau memuji Terengganu kerana menjadi perintis pelaksanaan hukuman sebat terbuka dan menyatakan bahawa tindakan itu patut menjadi contoh untuk negeri-negeri lain menguatkuasakan undang-undang Islam.

Asri mengulas, hukuman sebatan syariah yang dilaksanakan di luar penjara secara terbuka di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Terengganu pada Jumaat oleh kerajaan negeri Terengganu terhadap pesalah khalwat berulang sebanyak tiga kali itu adalah langkah mendidik masyarakat secara lebih serius dan berkesan.

“Hukuman sebatan syariah yang dijalankan secara tertutup melibatkan kehadiran warden penjara sahaja sudah lama dilaksanakan di semua negeri.

Artikel Berkaitan:

“Mengubah pelaksanaan dengan mengadakan hukuman sebat secara terbuka mengikut tatacara syariah melibatkan had kuota individu yang dibenarkan sebagai saksi seumpama dilaksanakan di Terengganu adalah langkah yang mengambil roh hukuman syariah dan tidak bercanggah dengan mana-mana peruntukan syariah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang naratif mengelirukan atau berniat tidak baik dengan mempolitikkan kaedah syariah dalam perlaksanaan hukuman sebat terbabit.

“Seharusnya berikan sepenuh kepercayaan kepada kerajaan negeri Terengganu dalam melaksanakannya.

“Kelantan turut merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan negeri Terengganu atas pelaksanaan hukuman yang mendidik masyarakat dengan lebih berkesan dan selaras piawaian hukuman berteras syariah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!