Penunggang motosikal meninggal dunia selepas 5 hari bertarung nyawa
JOHOR BARU - Seorang penunggang motosikal meninggal dunia selepas lima hari bertarung nyawa di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini akibat kemalangan awal pagi Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, mangsa berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia pada jam 12 tengah hari, Jumaat ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.
Menurutnya, siasatan mendapati kemalangan berlaku sekitar jam 4.30 pagi di Jalan Sutera Danga.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Y15ZR yang ditunggang mangsa dalam perjalanan dari arah Skudai menuju Iskandar Puteri telah hilang kawalan dan terbabas.
“Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian dalaman tubuhnya dah disahkan meninggal dunia semalam ketika menerima rawatan di HSA,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!