Pemandu lori tak hirau guna tayar botak, skru longgar
KAJANG - Sebuah lori yang membawa muatan barang lusuh ditahan di Tol Sungai Long di sini, pada Khamis, selepas pemeriksaan mendapati tayar kenderaan itu botak selain skru pada komponen itu longgar serta tidak sempurna.
Lebih memeranjatkan kenderaan perdagangan itu dikatakan dalam perjalanan dari kawasan perindustrian di Balakong, Seri Kembangan ke Kuantan, Pahang.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, lori itu ditahan semasa rondaan anggota yang melaksanakan Op Gempur Teknikal.
"Pemeriksaan mendapati tayar lori itu haus selain kenderaan tidak diselenggara dengan baik antaranya skru tayar longgar serta tidak sempurna.
"Lori ini juga telah diberi notis arah timbang mengikut Seksyen 63(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Mengenai kesalahan itu, beliau berkata, pemandu iaitu lelaki tempatan berusia 59 tahun itu memberi alasan menunggu tempoh pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dahulu sebelum menukar tayar.
Sebelum ini, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, Ops Gempur Teknikal menumpukan kepada kesalahan lebih muatan, teknikal, dokumentasi, lalu lintas dan kesalahan teknikal pembuatan serta penggunaan kenderaan.
Beliau menegaskan, tiada kompromi terhadap pemandu atau pemilik kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan di bawah APJ 1987 dan Kaedah-Kaedah di bawahnya, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
Katanya, JPJ memandang serius trend kemalangan yang melibatkan kenderaan perdagangan sehingga menyebabkan kematian pengguna jalan raya lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!