100kg kopi dari Thailand dirampas
BUTTERWORTH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk 100 kilogram biji kopi mentah dari Thailand, di Dermaga Air Dalam di sini.
Pengarahnya, Zarina Ramli berkata, rampasan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada 3 Februari lalu itu membabitkan nilai rampasan RM4,458.
"Pemeriksaan lanjut mendapati barangan yang dibawa masuk itu tidak mempunyai permit import yang sah dari Maqis. Tindakan ini adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta728].
"Jika sabit kesalahan, ia boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan tadi.
Katanya, pengimport atau orang awam dinasihatkan mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan bagi memastikan barangan pertanian yang dibawa masuk selamat untuk digunakan selain mengelakkan risiko penyakit serta ancaman perosak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!