Nilai pelaburan Selangor RM66.8 bilion hingga September
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor berjaya merekodkan nilai pelaburan berjumlah RM66.8 bilion bagi tempoh Januari hingga September sekali gus melepasi sasaran RM55 bilion pada tahun ini.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han berkata, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk memastikan Selangor kekal sebagai destinasi utama bagi pelabur dan perniagaan global.
Menurut beliau, usaha memperkukuh Selangor Mobiliti juga terus dipertingkat, menjadikan pengangkutan awam lebih cekap dan mesra pengguna demi kesejahteraan rakyat.
"Kerajaan Selangor kekal komited menarik pelaburan bernilai tinggi, mencipta peluang pekerjaan bergaji lumayan serta memastikan kesalinghubungan pengangkutan awam yang lebih menyeluruh," katanya dalam kenyataan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara dalam kenyataan sama turut memuat naik info grafik laporan pencapaian pelaburan, perdagangan dan mobiliti Selangor di laman Facebooknya pada Sabtu.
Laporan itu menyebut antara pencapaian terbaik berjaya diraih pada sepanjang tahun ini adalah nilai dagangan negeri yang mencatatkan jumlah sebanyak RM639.2 bilion.
"Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang telah bekerjasama dalam merealisasikan visi Selangor sebagai negeri pintar, lestari, dan kompetitif di peringkat antarabangsa," tambah Sze Han.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!