Mangsa banjir dibawa bersiar-siar naik Harley-Davidson
PASIR MAS - Seramai 15 penunggang motosikal dari Selangor, Melaka dan Johor menceriakan mangsa banjir dengan membawa mereka bersiar-siar menaiki motosikal berkuasa tinggi di Taman Prima Lubok Jong di sini pada Sabtu.
Mereka terdiri dari kelab Geng Motor Kita, Majestic Motor Club, TRK Southern dan My Ikram Bikers yang menunggang motosikal berkuasa tinggi antaranya Harley-Davidson bernilai RM90,000.
Ketua Ride Amal Misi Banjir Kelantan, Mas Imran Adam berkata, jelajah motosikal berkuasa tinggi itu ditumpukan di kawasan terjejas banjir di Kelantan antaranya melibatkan daerah Pasir Mas dan Pasir Puteh.
“Dalam hobi menunggang motosikal berkuasa tinggi, kami turun padang untuk berkongsi kesedihan dialami mangsa-mangsa banjir di Kelantan.
“Sebelum ini kami pernah membawa anak-anak yatim bersiar-siar dengan motosikal Harley-Davidson dan kali ini memberi peluang kepada mangsa banjir pula selain diharap dapat menceriakan mereka dalam suasana pasca bencana,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Bantuan Banjir di Taman Prima Lubok Jong di sini pada Sabtu.
Program dilaksanakan melalui gabungan empat kelab motosikal berkuasa tinggi, Pertubuhan Pemuda Gema, MyCare, Pasaraya Econsave, Pertubuhan Ikram Malaysia dan Yayasan Pendidikan Hidayah.
Turut disampaikan bantuan makanan iaitu beras, kelengkapan kebersihan diri, pakaian dan selimut.
Sebelum ini, lebih 900 penduduk di tiga perumahan termasuk Taman Prima Lubok Jong dan Taman Wira Jaya terjejas banjir sedalam hampir semeter pada gelombang pertama bulan lalu.
Mas Imran berkata, dalam misi sama, mereka juga menyampaikan sumbangan 65 naskah al-Quran bernilai RM3,000 daripada orang ramai kepada pelajar di Madrasah Tahfiz Darul Ulum dan Pondok Belida di Bukit Gedombak, Pasir Puteh.
“Kami menyerahkan al-Quran baharu bagi menggantikan al-Quran rosak yang tenggelam akibat banjir,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi MyCare Kelantan, Abd Rahman Salleh berkata, pada pasca gelombang pertama dan kedua banjir tahun ini, pihaknya bersama Yayasan Ikram Malaysia menyampaikan barangan bantuan banjir bernilai RM207,000 di negeri Kelantan.
“Bantuan berbentuk makanan, kelengkapan diri, pakaian dan selimut itu diberikan kepada 2,623 mangsa terjejas banjir.
“Mereka ialah penduduk yang terbabit dengan bencana di daerah Tanah Merah, Pasir Mas, Tumpat, Kota Bharu, Machang dan Pasir Puteh,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!