JBPM keluar 9,510 notis penghapusan bahaya kebakaran tahun ini
KUANTAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengeluarkan sebanyak 9,510 notis penghapusan bahaya kebakaran sehingga November tahun ini.
Notis tersebut melibatkan 1,260 premis atau 13 peratus daripada keseluruhan bangunan yang diperiksa di seluruh negara.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Ts Nor Hisham Mohammad berkata, antara pelanggaran keselamatan yang sering dikesan termasuk kemudahan tanda 'KELUAR' yang tidak berfungsi, lampu kecemasan yang gagal menyala dan penggantian pintu rintangan api dengan pintu keselamatan yang tidak sesuai.
Menurutnya, pelanggaran tersebut bukan sahaja melanggar peraturan keselamatan kebakaran, tetapi juga meningkatkan risiko penyebaran api sekiranya berlaku kebakaran.
“Pintu rintangan api berfungsi untuk menghalang penyebaran api dari satu ruang ke ruang lain. Namun, apabila pintu ini diganti tanpa mematuhi spesifikasi, risiko kebakaran merebak dengan cepat menjadi lebih tinggi.
“Sebagai contoh, pintu rintangan api direka untuk menahan api sekurang-kurangnya 15 minit, tetapi jika diganti dengan pintu yang tidak sesuai, ia boleh terbakar sepenuhnya dalam masa yang lebih singkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Pasukan Keselamatan Kebakaran Istana (PKKI) Pahang di Ibu Pejabat JBPM Pahang, Indera Mahkota pada Sabtu.
Nor Hisham turut memaklumkan hanya 94 notis dikesan tidak dipatuhi setakat ini.
"Semua kes ini kita sedang diproses untuk tindakan pendakwaan," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!