Lapan cedera nahas treler, MPV
MERSING - Lapan termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun cedera dalam kemalangan di Jalan Mersing Nitar dekat Felda Nitar 1 di sini pada petang Sabtu.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Mersing, Pegawai Bomba Kanan II Shamsuri Shafai berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan tersebut pada jam 3.01 petang.
Menurutnya, sebaik menerima panggilan berkenaan satu pasukan keluaran operasi (PKO) melibatkan satu jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan satu pacuan empat roda jenis Navara dengan 13 anggota dari BBP Mersing telah dihantar ke lokasi.
“Setibanya PKO ke lokasi pada jam 3.21 petang, didapati kemalangan berkenaan melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Caldina
dan treler jenis Volvo.
“PKO kemudiannya bertindak menyelamatkan kesemua lapan mangsa yang menaiki Toyota Caldina termasuk pemandu yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat," katanya.
Tambahnya, kesemua mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak ambulans untuk dibawa ke hospital bagi menerima rawatan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 3.48 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!