Polis cekup suspek pecah rumah
JOHOR BAHRU - Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat insiden pecah masuk dan mencuri di sebuah rumah di Taman Nesa, Skudai di sini, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada seorang wanita warga asing berusi 40 tahun pada jam 12.18 tengah hari.
Katanya, polis turut terkesan dengan satu video yang dimuat naik di laman facebook yang memaparkan kejadian seorang lelaki memasuki sebuah rumah dengan memecahkan pagar dan mencuri.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku di sebuah rumah di Taman Nesa, Skudai ketika wanita warga asing dan suaminya tiada di rumah kerana keluar bekerja.
“Pada jam 2.30 petang Jumaat, suspek yang merupakan lelaki warga tempatan berusia 32 tahun berjaya ditahan.
“Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau bagi kesalahan jenayah serta hasil ujian saringan air kencingnya didapati negatif,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!