Aktiviti mencurigakan di tanah perkuburan timbul tanda tanya
KUALA LUMPUR - Sekumpulan individu yang didakwa melakukan aktiviti mencurigakan di sebuah tanah perkuburan di Danau Kota, di sini menjadi tular di media sosial pada Sabtu.
Seorang pengguna Facebook dikenali Rizuwan Rosly memuat naik beberapa video di laman Facebooknya mengenai aktiviti itu dengan meluahkan kebimbangannya.
Rizuwan Rosly memaklumkan, pada awalnya dia menyangka sekumpulan individu yang memakai pakaian serba putih itu berzikir di salah sebuah kubur di tanah perkuburan berkenaan.
Namun, lama-kelamaan dia mengakui keadaan itu agak aneh dan mendakwa kumpulan terbabit kelihatan seolah-olah sedang melakukan ritual pemujaan.
“Aku ingatkan zikir. Tapi lama-lama dengar macam memujalah pula. Ini kubur dekat Danau Kota,” catatnya di laman Facebooknya itu pada Sabtu.
Perkongsian Rizuwan Rosly itu menerima pelbagai reaksi dalam kalangan warganet termasuklah ada pihak yang berkongsi beberapa video yang dimuatnaiknya itu ke laman X pula.
Sementara itu, di ruangan komen, Rizuwan Rosly turut memaklumkan dia telah membuat laporan mengenai kejadian itu dan menyerahkan kepada Jabatan Agama Islam untuk menjalankan siasatan.
“Laporan telah dibuat. Akan dibawa ke Jabatan (Agama) Islam, biar pihak berkenaan buat kerja. Biar Jabatan Agama Islam yang tentukan hukum hakamnya,” maklumnya.
Bagaimanapun sehingga Sabtu malam, tiada sebarang kenyataan atau penjelasan dikeluarkan pihak berkuasa agama termasuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan mengenai video yang tular di media sosial itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!