Nahas pesawat Azerbaijan: Putin hubungi Aliyev mohon maaf
MOSCOW - Presiden Rusia, Vladimir Putin pada Sabtu menghubungi Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev berkenaan kemalangan pesawat Azerbaijan Airlines di Kazakhstan minggu ini, menyampaikan permohonan maaf dan ucapan takziah, lapor Agensi Anadolu.
"Vladimir Putin memohon maaf atas kejadian tragik yang berlaku di ruang udara Rusia dan sekali lagi menyampaikan ucapan takziah yang mendalam dan ikhlas kepada keluarga mangsa serta mengharapkan pemulihan segera kepada yang cedera,” menurut kenyataan Kremlin.
Putin menegaskan bahawa pesawat penumpang Azerbaijan itu membuat beberapa percubaan untuk mendarat di bandar Grozny, Chechnya, pada ketika sistem pertahanan udara Rusia sedang bertindak balas terhadap serangan drone Ukraine.
Beliau memberitahu Aliyev bahawa Jawatankuasa Siasatan Rusia telah memulakan kes di bawah Perkara 263 Kanun Jenayah, yang meliputi pelanggaran keselamatan trafik udara dan peraturan operasi.
"Tindakan siasatan awal sedang dijalankan, dengan pakar awam dan tentera sedang dirujuk," tambah kenyataan itu.
Pada Rabu, pesawat Azerbaijan Airlines yang membawa 67 orang dari ibu negara Azerbaijan, Baku, ke Grozny terhempas berhampiran bandar Aktau, Kazakhstan, mengorbankan 38 orang manakala 29 terselamat.
Dua wakil dari Pejabat Pendakwa Raya Azerbaijan kini berada di Grozny, bekerjasama dengan pegawai Rusia dari Pejabat Pendakwa Raya dan Jawatankuasa Siasatan.
Pelbagai perkhidmatan dari Rusia, Azerbaijan dan Kazakhstan sedang menyelaras rapat di tapak kemalangan berhampiran Aktau untuk menguruskan kesan bencana itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!