KAFA masih menanti penjelasan FAM, PJS

Husin (kiri), FAM menggantung keahlian KAFA selepas mendapati Kongres KAFA kali ke-65 dan Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KAFA Bagi Sesi 2024-2028 yang diadakan pada 19 Disember lalu tidak sah.
Husin (kiri), FAM menggantung keahlian KAFA selepas mendapati Kongres KAFA kali ke-65 dan Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KAFA Bagi Sesi 2024-2028 yang diadakan pada 19 Disember lalu tidak sah.
A
A
A

SETIAUSAHA Agung Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Husin Deraman berkata, pihaknya masih menunggu penjelasan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkenaan penggantungan yang dikenakan terhadap badan induk bola sepak negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Malah jelas Husin, KAFA juga samar-samar terhadap beberapa perkara yang terkandung dalam surat dihantar badan induk bola sepak negara tersebut sebelum ini.

Selain itu, katanya, KAFA juga sedang menunggu penjelasan Pesuruhjaya Sukan (PJS) mengenai status penggantungan dikenakan FAM yang tidak begitu jelas isi kandungannya.

“Surat FAM yang bertarikh 21 Disember, isytihar mesyuarat agung tahunan ke-65 KAFA tidak sah sekali gus mengenakan larangan terhadap sebarang aktiviti.

“Surat FAM bertarikh 23 Disember pula penggantungan keahlian KAFA secara serta-merta, juga tidak menyatakan peluang kepada kami mengemukakan sebarang rayuan.

“Surat minta penjelasan juga sudah dihantar berkenaan arahan adakan AGM biarpun dalam surat FAM melarang sebarang aktiviti. Biarpun begitu KAFA akan buat rayuan mengikut saluran disediakan PJS,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Bagaimanapun jelas Husin, KAFA akan merujuk kepada PJS sekiranya badan induk tersebut masih perlu mengadakan semula AGM seperti diminta FAM sebelum ini.

Mengulas lanjut, Husin berkata, KAFA bersedia menerima semula tujuh persatuan yang dibatalkan pendaftaran oleh PJS sebelum ini pada AGM tahun depan dengan syarat pendaftaran diluluskan agensi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Pada AGM sebelum ini KAFA bersetuju menerima usul untuk mengaktifkan semula semua persatuan yang dibatalkan dengan syarat mereka perlu membuat permohonan semula dan mendapat kelulusan semula PJS.

“Ini termasuk menerima semula Persatuan Bolasepak Pasir Puteh dan Persatuan Bolasepak Jeli yang sebelum ini membuat aduan kepada FAM, dengan niat untuk meramaikan semula keahlian KAFA,” katanya.

Sebagai rekod, dalam kalangan 13 ahli gabungan, hanya enam persatuan yang tidak dibatalkan PJS iaitu Persatuan Bolasepak Melayu dan Persatuan Bolasepak Jajahan Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah, Tumpat dan Gua Musang.

Tujuh persatuan yang dibatalkan keahlian adalah Persatuan Bolasepak Jajahan Pasir Puteh, Jeli, Machang, Kuala Krai, Bachok, Persatuan Bolasepak Cina dan Persatuan Bolasepak India.

Pembatalan itu menyaksikan ahli gabungan tersebut tidak dijemput menghadiri Kongres Tahunan KAFA ke-65 dan pemilihan jawatankuasa Eksekutif KAFA 2024-2028.

Dua persatuan yang dibatalkan pendaftaran kemudian membuat laporan kepada FAM yang selepas itu menggantung keahlian KAFA serta-merta pada 23 Disember lalu berpandukan surat FAM pada 21 Disember lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!