Kaji semula kadar kenaikan tarif elektrik, elak beban rakyat
GEORGE TOWN - Kerajaan digesa mengkaji semula kadar kenaikan tarif elektrik yang dijadualkan akan bermula Julai tahun depan bagi mengelakkan beban tambahan kepada rakyat dan seterusnya memburukkan lagi keadaan ekonomi negara.
Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Oh Tong Keong berkata, Kerajaan Perpaduan harus menunaikan janji dengan menggunakan penjimatan daripada pelaksanaan subsidi bersasar untuk menampung kos subsidi elektrik.
Selain itu katanya, kerajaan juga tidak harus meluluskan cadangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menaikkan tarif elektrik sebanyak 14.2 peratus.
“Sepatutnya ia harus dilaksana berperingkat. Hal ini kerana kadar kenaikan 14.2 peratus jauh melebihi kadar inflasi 1.8 peratus yang sering ditekankan oleh kerajaan. Ia tidak munasabah sama sekali.
“TNB yang memonopoli bekalan tenaga elektrik di negara kita, rakyat mempunyai pilihan yang sangat terhad melainkan jika mereka menggunakan penjana elektrik sendiri. Seperti bekalan air, rakyat juga tidak mempunyai pilihan lain selain menerima caj yang ditetapkan oleh pembekal,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambah beliau, sebarang kenaikan tarif elektrik akan memberi impak yang besar kepada rakyat.
“Masyarakat pada zaman sekarang amat bergantung kepada bekalan elektrik dengan penggunaan peralatan elektrik seperti lampu, kipas dan penyaman udara. Maka, kenaikan tarif elektrik ini akan meningkatkan kos perbelanjaan isi rumah.
“TNB yang mencatat keuntungan berbilion ringgit setiap tahun, sepatutnya mengamalkan tanggungjawab sosial korporat dan tidak seharusnya menaikkan kadar tarif elektrik hanya untuk meningkatkan keuntungan kerana langkah ini akan membebankan pengguna selain menambah tekanan kehidupan mereka,” jelasnya lagi.
Tong Keong berkata, bekalan tenaga, air dan pengangkutan awam adalah keperluan asas rakyat.
“Kerajaan harus berdiri bersama rakyat, menghalang kenaikan tarif yang tidak munasabah ke atas keperluan asas ketika rakyat berdepan keadaan ekonomi yang sukar,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!