Ambil kira faktor ekonomi isi rumah, mekanisme tarif berperingkat
SHAH ALAM - Keputusan mengekalkan kadar tarif elektrik semasa sehingga Jun 2025 dilihat sebagai langkah sementara yang bijak dan kerajaan mempunyai tempoh enam bulan untuk menyusun semula mekanisme subsidi bersasar dengan lebih inklusif.
Pakar ekonomi, Dr Mohamad Khair Afham Muhamad Senan bagaimanapun berkata, jadual tarif baharu di bawah Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) pada Julai tahun sama juga perlu dirangka dengan berhati-hati.
Menurut beliau, kerajaan perlu mengambil kira pelbagai aspek untuk menjayakannya seperti membangunkan mekanisme tarif berperingkat, subsidi bersasar, faktor ekonomi isi rumah dan pelaburan tenaga lestari.
Jelasnya, dasar yang berkesan dalam menangani isu tersebut bukan sahaja akan melindungi rakyat, malah mampu menyokong pembangunan ekonomi mampan untuk jangka masa panjang tanpa menjejaskan kestabilan fiskal negara.
“Jika kadar tarif elektrik dinaikkan tanpa pendekatan subsidi bersasar yang berkesan, golongan berpendapatan rendah dan sederhana, khususnya isi rumah dengan ahli keluarga ramai akan menerima kesan lebih besar.
“Ini disebabkan kebergantungan isi rumah tersebut kepada penjanaan elektrik yang tinggi untuk keperluan asas harian seperti penggunaan mesin basuh, kipas angin, peti sejuk dan lain-lain.
“Kenaikan tarif elektrik RM30 hingga RM50 sebulan beri kesan signifikan dan tekanan tambahan kepada perbelanjaan isi rumah terutamanya dalam pengagihan belanja makanan, pendidikan atau penjagaan kesihatan,” katanya kepada Sinar Ahad.
Mengulas lanjut, Mohamad Khair Afham berpandangan, kerajaan juga patut memberikan perhatian kepada kos penjanaan tenaga yang boleh diminimumkan melalui pelaburan tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan hidro.
Tambahnya, meskipun pelaburan sedemikian memerlukan modal tinggi, ia mampu mengurangkan kos jangka panjang dan memberikan sumber tenaga yang lebih lestari.
“Kecekapan sistem pengagihan tenaga juga perlu ditingkatkan. Kehilangan tenaga semasa pengagihan yang dianggarkan sekitar enam peratus daripada jumlah penghasilan boleh dikurangkan melalui penggunaan teknologi moden seperti grid pintar.
“Pada masa sama, kerajaan perlu memastikan sebarang perubahan dalam tarif tidak memberi kesan besar kepada indeks harga pengguna (CPI) yang mana pada November lalu berada pada paras 2.5 peratus.
“Justeru, peningkatan tarif elektrik yang mendadak boleh mencetuskan kenaikan inflasi dan menjejaskan daya beli rakyat,” ujar beliau lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!