[VIDEO] Kewujudan Titah Adendum bukan cerita dongeng - Nizar

A
A
A

KUALA LUMPUR - Anak sulung bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Muhammad Nizar menegaskan sekali lagi kenyataannya berikutan Titah Adendum yang didakwa dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16 bagi membolehkan bapanya menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah memang wujud.

Muhammad Nizar berkata, kewujudannya itu bukan cerita dongeng atau karut yang menunjukkan bahawa terdapat implikasi besar sekiranya beliau menipu tentang titah tersebut.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya itu, YDPA ketika itu merupakan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah mengirim satu surat kepada bekas Peguam Negara dengan menitahkan Najib layak mendapat tahanan di rumah.*

Muhammad Nizar
Muhammad Nizar

“Itu terjadi selepas mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 29 Januari lalu.

“Malah dalam afidavit saya sebelum ini, Sultan Pahang dah mengesahkan telah mengirimkan surat itu kepada Peguam Negara di satu majlis Kompleks Kraftangan Tuanku Azizah, saya telah dititah mengadap dan tuanku sendiri memberitahu bahawa baginda perkenan salinan Titah Adendum tersebut.

“Saya dah menulis bagi pihak keluarga menjunjung kasih memohon izin salinan Titah Adendum itu dan diberikan dua minggu kemudian dalam bulan Ogos lalu di istana oleh Datuk Seri Pengelola Bijaya di Hotel Hyatt Kuantan dan salinan Titah Adendum tersebut dan memang jelas surat itu arahan titah untuk memberi tahanan rumah,” katanya dalam program Demi Najib 2.0 di Pusat Konvensional Melawati di sini pada Sabtu.

Pada 9 Disember lalu, Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari depan bagi pendengaran rayuan Najib yang juga bekas Perdana Menteri berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan bagi memulakan semakan kehakiman untuk mencabar kewujudan Titah Adendum.

Artikel Berkaitan:

Jabatan Peguam Negara berkata, tarikh itu juga untuk Najib mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum itu.

Selain itu, Muhammad Nizar menegaskan bahawa kenyataan yang dikeluarkan itu akan memberi kesan kepada dirinya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Exco Pahang.

Ujarnya, ia berikutan sepanjang kenyataan berkenaan dikeluarkan, beliau tidak menerima sebarang laporan polis dan saman daripada istana.

“Saya berani kerana benar,” tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!