Israel tahan 240 warga Palestin selepas serbuan di hospital
GAZA - Israel menahan lebih 240 warga Palestin, termasuk puluhan petugas perubatan, selepas serbuan di Hospital Kamal Adwan, utara Gaza, pada Jumaat, menurut Kementerian Kesihatan dan tentera Israel.
Turut ditahan pengarah hospital, Dr Hussam Abu Safiya.
Kementerian Kesihatan menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan Dr Abu Safiya. Beberapa kakitangan yang dibebaskan mendakwa beliau dipukul oleh tentera Israel.
Tentera Israel pula mendakwa hospital itu digunakan sebagai pusat operasi Hamas dan Dr Abu Safiya disoal siasat kerana disyaki terlibat dengan kumpulan itu.
Hamas menafikan tuduhan Israel bahawa pejuangnya beroperasi dari hospital tersebut sepanjang perang Gaza selama 15 bulan.
Bagaimanapun, Hamas tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai penahanan 240 individu itu.
Pada Sabtu, Hamas menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi antarabangsa campur tangan segera untuk melindungi hospital dan kemudahan perubatan di utara Gaza serta membekalkan bantuan yang diperlukan.
Mereka juga menyeru pemerhati PBB ditempatkan di fasiliti perubatan untuk menolak tuduhan Israel.
Serbuan itu menyebabkan Hospital Kamal Adwan, antara tiga hospital utama di kawasan itu, tidak lagi berfungsi.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini bimbang terhadap risiko nyawa 75,000 penduduk Palestin akibat pemusnahan sistem kesihatan dan pengepungan selama lebih 80 hari.
Sebahagian pesakit telah dipindahkan ke Hospital Indonesia, yang juga tidak beroperasi, manakala kakitangan perubatan dihalang bertugas.
Pesakit dan kakitangan lain pula dipindahkan ke fasiliti perubatan lain, menurut Kementerian Kesihatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!