Titah Adendum: Pas persoal kenyataan AGC

Tangkap layar hantaran Fadhli di Facebook pada Sabtu.
Tangkap layar hantaran Fadhli di Facebook pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pas mempersoal kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengenai perintah untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menghantar permohonan baharu membabitkan kes yang dihadapi ketika ini.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tindakan itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia merupakan subjudis terhadap kes yang bakal diperdengarkan di mahkamah.

"Apa tujuan kenyataan ini dikeluarkan menjelang pendengaran rayuan Najib pada 6 Januari depan? Tidakkah ini satu bentuk subjudis terhadap kes yang akan diperdengarkan di mahkamah.

"Nampaknya hanya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja yang berusaha mengelak untuk menjawab di Parlimen tentang kewujudan Titah Adendum atas alasan tidak mahu mengganggu proses mahkamah.

"Padahal yang ditanya di Parlimen ialah soalan mudah, wujud atau tidak Titah Adendum itu," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Ahad.

Sebelum ini media melaporkan, AGC mengeluarkan kenyataan untuk Najib mengemukakan permohonan baharu kepada Lembaga Pengampunan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong sekiranya ingin menghabiskan baki tempoh hukumannya kepada tahanan di rumah.

Menurut kenyataan tersebut, berdasarkan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk memberi pengampunan, menunda dan melegakan hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya.

Tambahnya, Perkara 42(2) Perlembagaan Persekutuan pula antara lain memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berpendapat, proses pengampunan terhadap Najib dilihat lebih sukar berbanding perjalanan permohonan maaf Anwar pada 2018.

"Nampak berliku-liku lagi perjalanan perjuangan Najib untuk mengesahkan kewujudan Titah Adendum itu.

"Tidak lancar dan mudah sebagaimana perjalanan pengampunan Anwar pada 2018. Waktu itu, lancar dan mudah sahaja. Hakikatnya, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!