[VIDEO] Orang ramai teruja naik kereta api khas MySawasdee Edisi Penang ke Hatyai
BUTTERWORTH - Orang ramai teruja apabila berpeluang menaiki perkhidmatan khas kereta api MySawasdee Edisi Penang dari Stesen Butterworth ke Hatyai, Thailand yang memulakan perjalanannya pada Ahad.
Penjawat awam, Tunku Intan Nadiah Tunku Mohammed Nazarin, 30, berkata, ia satu pengalaman yang baru baginya untuk menaiki kereta api dari Butterworth hingga ke Haytai.
"Saya amat teruja untuk menaiki kereta api yang pertama dari sini ke Hatyai. Saya dah selalu pergi Hatyai sebelum ini tetapi dengan menaiki kereta. Kali ini, saya pergi tiga hari dua malam.
"Saya dapat merasakan naik kereta api lebih seronok berbanding kereta," katanya ketika ditemui di Stesen Butterworth di sini pada Ahad.
Pegawai bank dari Setiawan, Azhani Ariffin, 36, berkata, anak-anaknya amat teruja untuk perjalanan pada kali ini tanpa perlu menukar kereta api di Padang Besar terlebih dahulu.
"Saya sekeluarga memang selalu ke Thailand, selalunya naik bas, kereta atau kereta api. Tetapi selalunya, kami akan naik dari Ipoh ke Padang Besar dan perlu menukar kereta api untuk masuk ke Thailand.
"Kali ini tidak perlu tukar kereta api lagi tambahan pula, kalau dari Ipoh, ada satu trip saja iaitu waktu pagi. Kami enam sekeluarga termasuk ibu akan menyambut tahun baharu di Hatyai," katanya.
Warga emas, Sunny Ewe, 74, berkata, dia bersama rakannya ingin mencuba menaiki kereta api yang akan terus ke Hatyai tanpa perlu menukar kereta api di Padang Besar.
"Selalu saya akan memandu tetapi kali ini, kita cuba lah (naik kereta api). Saya dan rakan akan pergi dua hari satu malam. Saja jalan-jalan, nak rasa naik 'direct train'.
"Bagi saya, perkhidmatan ini amat menyenangkan penumpang kerana tak perlu tukar-tukar kereta api lagi," tambahnya.
Sementara itu, Ketua Tugas-Tugas Khas (Hal Ehwal Antarabangsa) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Roshidi Yahaya berkata, kereta api khas itu menawarkan operasi harian Butterworth - Hatyai -Butterworth sehingga 5 Januari tahun depan yang menghubungkan beberapa stesen utama termasuk Bukit Mertajam, Sungai Petani, Alor Setar, Arau dan Padang Besar.
Menurutnya, jualan tiket telah dibuka pada 23 Disember lalu dan sehingga kini, sebanyak 190 tiket telah terjual.
"Perkhidmatan khas kereta api MySawasdee Edisi Penang hari ini memulakan percubaan laluan pertamanya dari Stesen Butterworh - Hatyai - Butterworth.
"Melalui inisiatif ini, KTMB menjangkakan kemasukan pelancong dari Thailand ke Malaysia, yang dijangka memberi manfaat kepada pelancongan domestik serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pendapatan negara," katanya.
Sebelum itu, Roshidi melepaskan perkhidmatan khas kereta api MySawasdee Edisi Penang ke Hatyai, Thailand di Stesen KTMB Butterworth di sini pada jam 7.40 pagi Ahad.
Mengulas lanjut, Roshidi berkata, sehingga Ahad, sambutan orang ramai amat menggalakkan apabila 70 peratus tiket telah habis dijual.
"Sambutan setakat ini sangat menggalakkan yang mana, daripada jumlah tiket yang keluarkan untuk perjalanan hari ini, 70 peratus telah terjual, Penumpang yang berminat, boleh mendapatkan tiket di saluran yang kita disediakan.
"Tiket-tiket untuk tarikh yang lain masih boleh didapati melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS), mesin kios, atau laman sesawang rasmi di www.ktmb.com.my. Setiap perjalanan kita tawarkan 360 tempat duduk untuk satu perjalanan sehala," katanya.
Tambahnya, perkhidmatan khas itu merupakan perkhidmatan percubaan untuk KTMB mendapatkan maklum balas daripada penumpang bagi mengembangkan lagi perkhidmatan ke lokasi tumpuan lain.
"Percubaan laluan bertujuan untuk menilai permintaan dan sambutan pengguna terhadap perkhidmatan ini bagi perancangan pelaksanaan kereta api ke beberapa lokasi tumpuan di rangkaian State Railway of Thailand (SRT) pada masa akan datang.
"Sempena meraikan perjalanan pertama ini, KTMB telah mengedarkan sebanyak 200 pek istimewa kepada penumpang yang akan ke Hatyai," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!