Kepungan Israel di utara Gaza ancam nyawa 75,000 rakyat Palestin - WHO

Kepungan lebih 80 hari oleh Israel di utara Gaza membahayakan nyawa 75,000 rakyat Palestin yang masih berada di kawasan itu. Foto Xinhua
Kepungan lebih 80 hari oleh Israel di utara Gaza membahayakan nyawa 75,000 rakyat Palestin yang masih berada di kawasan itu. Foto Xinhua
A
A
A

ISTANBUL - Kepungan lebih 80 hari oleh Israel di utara Gaza membahayakan nyawa 75,000 rakyat Palestin yang masih berada di kawasan itu, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Kenyataan badan PBB itu dikeluarkan susulan serangan Israel ke atas Hospital Kamal Adwan yang mengakibatkan kemusnahan hospital terakhir di utara Gaza, lapor Agensi Anadolu.

Hampir 50 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel pada Khamis yang menyasarkan sebuah bangunan bersebelahan Hospital Kamal Adwan, termasuk tiga petugas perubatan dan pekerja hospital.

"WHO amat terkejut dengan serangan ke atas Hospital Kamal Adwan semalam, yang menyebabkan fasiliti kesihatan utama terakhir di utara Gaza tidak lagi berfungsi,” menurut kenyataan itu.

"Laporan awal menunjukkan beberapa bahagian hospital terbakar dan mengalami kerosakan teruk akibat serangan termasuk makmal, unit pembedahan, jabatan kejuruteraan dan penyelenggaraan, bilik operasi, serta stor perubatan.

"Pada awal hari kejadian, 12 pesakit dan seorang kakitangan kesihatan wanita dilaporkan terpaksa dipindahkan ke Hospital Indonesia yang musnah dan tidak berfungsi, di mana rawatan tidak dapat diberikan.

"Sebahagian besar kakitangan, pesakit stabil, dan pengiring dipindahkan ke lokasi berdekatan," menurut kenyataan itu.

Laporan juga menyebut ada individu yang dipaksa menanggalkan pakaian dan berjalan menuju ke selatan Gaza.

Artikel Berkaitan:

Sepanjang dua bulan lalu, kawasan sekitar hospital kekal "tidak menentu" dengan serangan hampir setiap hari terhadap hospital dan petugas kesihatan, menurut WHO.

"Misi kecemasan WHO ke Hospital Indonesia sedang dirancang esok bagi memindahkan pesakit dengan selamat ke selatan Gaza untuk rawatan lanjut," menurut kenyataan itu.

Sejak awal Oktober 2024, WHO mengesahkan sekurang-kurangnya 50 serangan terhadap kemudahan kesihatan, sama ada di dalam atau berhampiran hospital.

WHO turut menyeru usaha segera bagi memastikan hospital di utara Gaza dapat kembali berfungsi.

Serangan Israel telah meragut hampir 45,500 nyawa di Gaza sejak 7 Oktober 2023, menyebabkan sebahagian besar kawasan itu musnah.

Bulan lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga sedang menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas tindakannya di wilayah itu. - Bernama-AA

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!