Warga UUM santuni pelajar pondok Bumrungsuksa
SINTOK - Seramai lapan pensyarah, lima staf dan 25 penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) hadir menyantuni serta menyampaikan sumbangan kepada Pondok Bumrungsuksa Islamic Boarding School di Hatyai, Thailand pada 5 Februari lalu.
Koordinator Thailand Volunteerism Mission, Dr Hammuzamer Irwan Hamzah berkata, pihaknya berbesar hati menyampaikan bantuan sebanyak RM4,170 dan 50 kain cadar sumbangan Persatuan Inovasi Mahasiswa UUM.
"Sumbangan itu adalah bagi kegunaan harian pelajar-pelajar di asrama sekolah tersebut," katanya.
Sementara itu, Pengetua Pondok Bumrungsuksa Islamic Boarding School, Hawaree Lambensa berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih di atas sumbangan yang diterima pihaknya.
Menurutnya, semua barangan itu akan diagihkan kepada pelajar pondok yang terdiri 50 pelajar dari pelbagai daerah di selatan Thailand.
Beliau berkata, sekolah itu mengehadkan pengambilan pelajar kepada 80 orang sahaja setakat ini kerana mengikut kemudahan yang ada, namun akan dikembangkan pada masa akan datang.
"Hal ini supaya tenaga pengajar lebih fokus ketika waktu pengajaran dan pembelajaran untuk menjadikannya lebih efektif.
"Kebanyakan pelajar ini mendapat sumbangan daripada orang perseorangan dan dana dari Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan negara Islam lain.
"Pondok ini ditubuhkan atas empat objektif utama iaitu menuntut ilmu al-Quran dan tahfiz, ilmu sains, ilmu bahasa dan juga ilmu tentang kemahiran kehidupan," katanya.
Dalam pada itu, warga UUM turut melakukan aktiviti gotong-royong dengan memasak makanan tengah hari untuk pelajar pondok berkenaan.
Beberapa aktiviti juga turut diadakan bersama pelajar antaranya 'Get To Know Session' bagi memupuk kemahiran komunikasi dan 'My Ambition' yang bertujuan memberi motivasi agar pelajar dapat menggapai cita-cita yang diharapkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!