Kenaikan tarif elektrik ancam sektor pelancongan - MiTDA
SHAH ALAM - Cadangan kenaikan tarif elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak 14 peratus bermula Julai 2025 bakal mengancam sektor pelancongan khususnya persiapan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY 2026).
Presiden Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MiTDA), Mahadzir Mansor berkata, peningkatan daripada 39.95 sen kepada 45.62 sen setiap sekilowatt-jam (kWj) bersamaan pertambahan bayaran sebanyak 5.67 sen bagi setiap kWj.
"Ini bermakna rakyat dan perniagaan akan membayar tambahan 5.67 sen bagi setiap kWj yang digunakan atau secara mudah setiap jam meter elektrik berpusing kos meningkat lebih tinggi.
"Keuntungan TNB telah melonjak empat kali ganda kepada RM1.45 bilion membuktikan syarikat ini mempunyai kemampuan kewangan yang kukuh.
"TNB sepatutnya menggunakan keuntungan ini untuk menampung kos operasi dan penyelenggaraan sebab dana tersebut cukup bagi menampung keperluan mereka tanpa membebankan rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencadangkan jadual tarif baru dengan tarif asas 45.62 sen KwJ bagi Semenanjung Malaysia di bawah Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) untuk dilaksanakan bermula 1 Julai 2025.
Di bawah Tempoh Kawal Selia 3 (RP3) antara 2022 dan 2024, tarif asas ditetapkan pada 39.95 sen/kWj.
TNB menerusi makluman kepada Bursa Malaysia berkata, sebarang perbezaan dari Januari hingga Jun 2025 akan dibiayai melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).
Menurut Mahadzir, TNB perlu menyokong ekonomi negara dan rakyat dengan mengekalkan kadar tarif sedia ada dan memainkan peranan penting dalam membantu rakyat serta perniagaan pulih daripada tekanan ekonomi.
Ujarnya, kenaikan itu bakal memberi kesan langsung kepada semua sektor ekonomi di mana kos sara hidup juga akan melonjak.
"Sektor pelancongan akan mendapat tekanan di mana perniagaan hotel, restoran dan tempat pelancongan terpaksa menaikkan harga untuk menampung kos. Semua ini akan menjadikan Malaysia kurang kompetitif sebagai destinasi pelancongan.
"Impak kepada VMY 2026 akan merudum di mana pelancong antarabangsa bakal berkurangan kerana kos penginapan dan perkhidmatan tinggi menyebabkan pelancong memilih destinasi lebih murah seperti jiran kita Thailand, Indonesia atau Vietnam.
"Kasihan kepada peniaga kecil yang bergantung kepada pelancongan mungkin terpaksa tutup kerana kos operasi yang tidak dapat ditanggung.
"Akhir sekali, isu ini bakal menjejas pulangan daripada kesempatan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN selama lima tahun bermula 2025," jelasnya.
Tambah Mahadzir, keputusan bantahan itu dibuat bersama pakar dalam bidang elektrik sejak 2010.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!