Masih ada kenderaan perdagangan guna tayar 'botak licin'
KAPAR - 'Botak licin' dan tiada bunga tayar tetapi masih lagi berani beroperasi membawa barang dagangan di atas jalan raya termasuk di lebuh raya.
Pelbagai kejadian kes kemalangan maut membabitkan kenderaan berat baru-baru ini, namun masih terdapat pemandu lori perdagangan yang berdegil dan mengingkari peraturan ditetapkan.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, antara kesalahan berat yang dikesan semasa Ops Gempur Teknikal di Plaza Tol Kapar, di sini pada Jumaat adalah menggunakan tayar 'botak licin'.
Beliau berkata, sepanjang operasi yang bermula jam 10 pagi sehingga 12 tengah hari itu, sebanyak 216 buah kenderaan perdagangan telah diperiksa.
"Semua kenderaan yang dikesan melakukan kesalahan telah diambil tindakan.
"Sebanyak 95 notis berserta saman telah dikeluarkan dalam Ops Gempur Teknikal JPJ Negeri Selangor pada Jumaat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Azrin berkata, antara kesalahan yang diambil tindakan dalam operasi khas itu adalah lesen memandu kompetan (CDL) dan lesen kenderaan barangan (GDL) tamat tempoh.
Selain itu, menurut beliau, kesalahan lain yang dikesan adalah berkaitan dengan teknikal kenderaan seperti menggunakan tayar haus, tidak menyelenggara kenderaan dengan baik.
Tambah Azrin, pemandu kenderaan berat juga melakukan kesalahan tidak mengunci kontena yang dibawa, memasang tirai semasa kenderaan bergerak di atas jalan raya serta menggunakan cermin gelap.
Tegas beliau, JPJ Negeri Selangor akan sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua jenis kenderaan.
Jelasnya, ia bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.
"Sebarang aduan kesalahan lalulintas, orang ramai boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan berserta butiran pengadu serta butiran aduan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!