Seorang maut, 6 cedera puting beliung landa Texas
HOUSTON - Sekurang-kurangnya seorang maut dan enam lagi cedera selepas beberapa puting beliung dan ribut melanda kawasan metropolitan Greater Houston di negeri Texas, Amerika Syarikat pada petang Sabtu, lapor Xinhua.
Di Brazoria County, kira-kira 72.4 kilometer (km) selatan Houston, Pejabat Syerif mengesahkan satu kematian dan empat cedera.
Di Montgomery County, di utara Houston dua lagi mangsa dimasukkan ke hospital akibat kecederaan, kata Timbalan Ketua Staf, Jason Smith kepada CBS News.
Setakat ini, tiada laporan mengenai kecederaan kritikal.
"Kami masih menjalankan pencarian susulan dan memastikan semua penduduk di kawasan terjejas dikenal pasti," kata jurucakap Pejabat Syerif Brazoria County, Madison Polston kepada CNN.
Beberapa puting beliung melanda pinggir bandar Houston pada Sabtu, merosakkan puluhan rumah dan menumbangkan tiang elektrik serta pokok, menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS. - Bernama-Xinhua
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!