Pengurusan perisikan Syria akan dirombak

Anas Hattab
Anas Hattab
A
A
A

DAMSYIK - Ketua Perisikan Umum Syria, Anas Hattab pada Sabtu mengumumkan bahawa institusi keselamatan yang dituduh menindas rakyat selama lebih 50 tahun di bawah rejim yang digulingkan akan dirombak sejajar tujuan asalnya, lapor Agensi Anadolu (AA), memetik media tempatan.

Bercakap kepada Agensi Berita Arab Syria (SANA), beliau menekankan pengorbanan dan usaha rakyat Syria selama 13 tahun yang berakhir dengan kemenangan mereka.

"Institusi keselamatan akan dirombak, semua unit keselamatan akan dibubarkan dan ia akan dibentuk semula dengan cara yang sesuai dengan sejarah, perjuangan dan warisan rakyat kami,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa agensi keselamatan di bawah rejim Baath telah menyebabkan penderitaan kepada rakyat selama lebih lima dekad dan berjanji untuk bekerja tanpa henti bagi memastikan keselamatan dan hak-hak rakyat Syria.

Bashar al-Assad, pemimpin Syria selama hampir 25 tahun, melarikan diri ke Rusia selepas kumpulan anti-rejim mengambil alih Damsyik pada 8 Dis, menamatkan pemerintahan Parti Baath yang berkuasa sejak 1963.

Selepas kejatuhan rejim Baath yang berlangsung selama 61 tahun, Anas Hattab dilantik sebagai ketua agensi perisikan yang baharu pada 26 Dis di bawah kerajaan sementara.

Pegawai berusia 37 tahun itu terkenal kerana menubuhkan Organisasi Keselamatan Awam, cabang perisikan dan keselamatan bagi pentadbiran awam di Idlib.

Beliau telah lama bekerjasama rapat dengan Ahmed Shara, pemimpin kerajaan baharu Syria.

Artikel Berkaitan:

Pada tahun-tahun berikutnya, beliau mengetuai bahagian keselamatan dan perisikan Hayat Tahrir al-Sham, yang dipimpin oleh Shara. - Bernama-AA

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!