Pelihara seni silat cekak sebagai warisan budaya bangsa Melayu
KUALA LUMPUR - Seni Silat Cekak yang merupakan antara khazanah warisan Melayu perlu dijaga sebaik mungkin kerana ilmu seni mempertahankan diri ini mempunyai kaitan dengan warisan budaya bangsa Melayu.
Presiden Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia (Silat Cekak Hanafi), Profesor Amrahi Buang sehubungan itu berkata, menjadi tanggungjawab semua untuk terus memelihara warisan ini dalam era permodenan yang semakin mencabar kini.
"Namun kita yakin bahawa dengan sikap positif, perancangan yang rapi dengan komitmen tinggi kita akan mampu untuk mendakap kejayaan," katanya pada Majlis Malam Tautan Kasih Cekak Hanafi 60 Tahun di Cheras di sini pada Sabtu malam.
Majlis yang dihadiri hampir 250 ahli termasuk pemimpin tertinggi persatuan tersebut diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-60 Persatuan Seni Silat Cekak Hanafi.
Beliau menambah, di sepanjang tahun 2025, pelbagai aktiviti dan program juga telah dirancang untuk memeriahkan lagi sambutan ulang tahun ke-60 persatuan silat berkenaan.
"Kita akan mengadakan program-program yang bertujuan bukan sahaja untuk memperkenalkan Silat Cekak Hanafi kepada generasi muda, tetapi juga untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan ahli persatuan," ujarnya.
Jelasnya, kejayaan persatuan seni mempertahankan diri itu pada hari ini adalah hasil usaha gigih dan pengorbanan kita bersama.
"Kepada generasi muda yang memilih untuk bersama-sama dalam perjuangan ini, ingatlah bahawa kita bukan sekadar mewarisi seni silat, tetapi juga nilai-nilai murni yang perlu dipelihara dan diamalkan.
"Jadilah insan yang bertanggungjawab dan amalkan segala ajaran dengan penuh keikhlasan dan marilah kita sama-sama berganding bahu untuk memastikan Silat Cekak Hanafi terus terpelihara dan berkembang untuk 60 tahun akan datang dan seterusnya," tambahnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!