Jual minyak masak peket lebih 20 sen
LENGGONG - Sebuah kedai runcit dikenakan tindakan selepas menjual minyak masak peket melebihi harga kawalan dalam pemeriksaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini pada Sabtu.
Dalam pemeriksaan Op Samar sekitar jam 10 pagi itu, premis terbabit didapati menjual minyak masak peket 1 kilogram pada harga RM2.70 iaitu lebih 20 sen daripada RM2.50 yang ditetapkan kerajaan.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, siasatan ke atas premis itu kemudiannya menemui 60 peket minyak masak di bahagian belakang stor penyimpanan.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut juga menjumpai 13 peket minyak lagi dalam kotak di bahagian hadapan premis dengan tanda harga RM2.50.
"Aduan kes ini diterima hasil maklumat orang awam.
"Tindakan telah diambil mengikut Seksyen 12 Akta Pelindungan Pengguna 1999 (Akta 599) atas kesalahan gambaran yang mengelirukan tentang harga barang," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Beliau berkata, kes tersebut juga akan disiasat di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan boleh dikenakan penalti antaranya denda sehingga RM500,000.
Katanya, orang ramai disaran terus memberikan maklumat kepada KPDN agar tindakan tegas dapat diambil terhadap peniaga.
"Peniaga juga diingatkan agar lebih beretika dalam perniagaan dengan mematuhi peraturan ditetapkan akta sedia ada," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!