JPJ terus buru pesalah kenderaan berat di seluruh negara

Jana Santhiran (dua dari kiri) ketika melihat kenderaan berat yang diperiksa dalam ops tersebut.
Jana Santhiran (dua dari kiri) ketika melihat kenderaan berat yang diperiksa dalam ops tersebut.
A
A
A

SHAH ALAM - Lebih 5,000 notis dikeluarkan ke atas kenderaan perdagangan bagi tempoh lima hari Ops Khas 'Gempur Teknikal' dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), Datuk Jana Santhiran Muniayan berkata, pihaknya memandang serius kejadian kemalangan ngeri dan kematian melibatkan kenderaan perdagangan baru-baru ini.

Beliau berkata, penguatkuasaan lebih tegas dikenakan terhadap kenderaan yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya.

"Sejumlah 17,729 buah kenderaan diperiksa dalam operasi khas ini sehingga Sabtu.

Pemeriksaan tayar dan brek kenderaan berat antara fokus operasi.
Pemeriksaan tayar dan brek kenderaan berat antara fokus operasi.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 15,770 buah kenderaan barangan diperiksa dan selebihnya melibatkan kenderaan perkhidmatan awam," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kata beliau, jumlah kenderaan yang diambil tindakan dalam operasi 'Gempur Teknikal' itu adalah sebanyak 1,787 buah, manakala sebanyak 16 kenderaan telah disita sejak Rabu.

Menurut beliau, pihak JPJ telah menggerakkan lebih 1,500 anggota dalam operasi khas tersebut.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tumpuan pemeriksaan adalah kesalahan membabitkan kenderaan perdagangan.

Jelasnya, antara kesalahan diberi keutamaan adalah lebih muatan, kesalahan keknikal, dokumentasi, lalu lintas, kesalahan teknikal pembuatan serta penggunaan kenderaan.

Tegas beliau, pihak MOT dan JPJ tidak akan berkompromi terhadap pemandu atau pemilik kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta 333 dan Kaedah-Kaedah di bawahnya, Akta 334 dan Akta 715.

"Mana-mana pihak melakukan kesalahan tersebut, kenderaan yang terlibat boleh disita di bawah Seksyen 80 Akta 715, selain kenderaan itu juga boleh dilucuthak sekiranya sabit kesalahan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!