10 kampung Tanah Merah dilanda banjir
TANAH MERAH - Sebanyak 10 kampung terletak kawasan rendah di daerah ini dinaiki banjir sehingga 0.7 meter pada gelombang ketiga Monsun Timur Laut (MTL) di sini pada Ahad.
Kampung terlibat antaranya Kampung Batu Gajah, Bendang Nyiur, Klewek, Gual Ipoh, Batu 5, Felda Kemahang, Jedok Tua, Batang Merbau, Batu 8 dan Manal.
Penduduk yang membuat siaran langsung di TikTok melalui akaun Datorizal berkata, hujan bermula pada jam 8 malam Sabtu itu menyebabkan air naik mendadak di Kampung Batu Gajah.
“Hujan seterusnya lebat pada jam 3 pagi Ahad serta masih berterusan hingga kini.
“Air naik dengan cepat dalam tempoh 12 jam dan turut menyebabkan arus yang laju dan ada penduduk yang mula meninggalkan kediaman masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanah Merah, Penolong Penguasa Bomba Mohd Zulkifli Osman berkata, pihaknya kini memantau rapi kawasan-kawasan di 10 kampung yang sedang dinaiki air.
“Hujan lebat menyebabkan limpahan dari Sungai Jedok dan mengalir deras ke kampung-kampung terlibat namun belum ada usaha pindah penduduk secara rasmi setakat jam 2.20 petang Ahad.
“Pihak kami menasihatkan mereka supaya berhati-hati dan patuhi arahan berpindah oleh pihak berkuasa jika diarahkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!