Terbuka Malaysia: Liu Ying percaya kemampuan Tang Jie-Ee Wei
PASANGAN beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mampu mara jauh pada kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2025 bermula 7-12 Januari ini di Axiata Arena di sini.
Bekas pemain beregu campuran kebangsaan Goh Liu Ying meluahkan keyakinan itu berdasarkan prestasi semasa beregu di kedudukan keenam dunia berkenaan yang berjaya melangkah ke final Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China baru-baru ini.
Liu Ying, pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 bersama Chan Peng Soon berkata ketiadaan beberapa nama besar selain pertukaran gandingan turut boleh membantu wakil utama negara untuk sekurang-kurangnya layak sehingga suku akhir kejohanan berstatus Jelajah Dunia Super 1000 itu.
"Jika Tang jie-Ee Wei dapat menampilkan aksi yang baik, mereka mempunyai peluang untuk mara ke pusingan separuh akhir atau akhir kerana ada gandingan yang dipecahkan dan tidak bermain.
"Namun, kita perlu ingat walaupun ia merupakan kejohanan sulung bagi musim depan, bukan mudah untuk merangkul gelaran kerana sentiasa ada pencabar lain. Ditambah lagi tekanan beraksi di laman sendiri, cabaran pastinya menanti mereka,” katanya ketika ditemui pemberita.
Liu Ying berkata Tang Jie-Ee Wei mempunyai kelebihan dari segi kelajuan dan tenaga, namun perlu pemantapan dari segi mental dan elakkan melakukan kesilapan mudah.
Walau bagaimanapun, beliau percaya perkara itu dapat diperbaiki dan gandingan ini boleh menjadi lebih matang apabila menyertai lebih banyak kejohanan peringkat tinggi.
Tang Jie-Ee Wei yang melakar sejarah sebagai wakil Malaysia pertama layak ke final di Jelajah Dunia Akhir sejak diperkenalkan pada 2018 terpaksa berpuas hati sebagai naib juara selepas tewas kepada gandingan tuan rumah Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong.
Pencapaian terbaik Tang Jie-Ee Wei di Terbuka Malaysia adalah suku akhir pada edisi 2023, manakala terkandas pada pusingan kedua pada tahun ini.
Wakil Malaysia terakhir untuk muncul juara Terbuka Malaysia adalah Datuk Lee Chong Wei yang merangkul gelaran ke-12 peribadi beliau pada edisi 2018. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!