Che Ta akui sudah lunas hutang Mara

Tangkap layar perbualan Che Ta bersama anak bongsunya, Aaisyah Dhia Rana, 10, menerusi aplikasi WhatsApp.
Tangkap layar perbualan Che Ta bersama anak bongsunya, Aaisyah Dhia Rana, 10, menerusi aplikasi WhatsApp.
A
A
A

SHAH ALAM - Pelakon sensasi, Rozita Che Wan memberitahu sudah melunaskan pinjaman Majlis Amanah Rakyat (Mara) bernilai hampir RM1 juta.

Perkara itu dimaklumkan Rozita menerusi tangkap layar perbualan bersama anak bongsunya, Aaisyah Dhia Rana, 10, menerusi aplikasi WhatsApp.

Aaisyah mempersoalkan mengenai status hutang sehingga harta benda hampir disita menerusi perbualan dua beranak tersebut.

“Mummy dah bayar Mara ke? Jadi, dah tak ada apa-apa dengan mereka?” tulisnya.

Rozita yang lebih mesra dipanggil Che Ta, 51, menjawab persoalan anaknya sekali gus menamatkan kontroversi bahawa hutang berkenaan berjaya dilunaskan.

“Dah, kenapa sayang?” jawabnya.

Dalam perbualan yang sama, Aaisyah meluahkan rasa sedih kerana ibunya menerima kecaman hebat daripada masyarakat.

“Tak, Aaisyah sedih ramai orang mengata mummy. I love you, mummy,” tulis Aaisyah.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Rozita mengakui persoalan Aaisyah disebabkan kerisauan terhadap dirinya.

“Kerisauan seorang anak. Besar dah Aaisyah, pandai dah risau pasal mak dia," tulis pelakon itu.

Pada 10 Disember lalu, kediaman Rozita di Kota Damansara, Petaling Jaya dilapor diserbu Mara bersama peguam dan wakil mahkamah berikutan dakwaan gagal melunaskan pinjaman bernilai hampir RM1 juta.

Rozita dikatakan masih belum tampil bertemu pihak berkenaan untuk berbincang mengenai penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman berjumlah RM960,000 dibuat syarikat miliknya, RCW Worldwide Sdn Bhd.

Susulan itu, bahagian undang-undang Mara dilapor dalam proses pemfailan kebankrapan terhadap Rozita dan anak sulungnya, Ammar Effendy yang gagal membayar pinjaman.

Pada 24 Disember lalu, acara lelongan awam membabitkan 34 barangan milik Rozita dengan jumlah keseluruhan bernilai RM902,012.46 sepatutnya diadakan, namun ditangguh atas permohonan pelakon itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!