Seorang maut, seorang cedera pesawat ringan terhempas di timur Australia
SYDNEY - Seorang maut manakala seorang lagi cedera parah selepas pesawat ringan terhempas di utara Sydney pada Ahad, menurut pihak polis, lapor Xinhua.
Pasukan kecemasan termasuk polis, ambulans dan sebuah helikopter penyelamat dikerah ke lokasi nahas di lapangan terbang di Pulau Palmers, kira-kira 500 kilometer di utara Sydney, New South Wales (NSW) kira-kira jam 11.20 pagi waktu tempatan.
Dalam satu kenyataan, Polis NSW memaklumkan bahawa juruterbang pesawat meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mangsa belum dikenal pasti secara rasmi, namun dipercayai seorang lelaki berusia sekitar 60-an.
Penumpang tunggal pesawat itu, seorang lelaki dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an menerima rawatan di lokasi sebelum dihantar ke hospital berhampiran akibat kecederaan serius.
Menurut laporan Australian Broadcasting Corporation, pesawat itu terhempas tidak jauh dari landasan lapangan terbang berkenaan.
Pihak polis sedang menyiasat punca kejadian dan meminta orang ramai agar tidak menghampiri lokasi kejadian. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!