Tak tarik brek sempurna punca lori mengundur sendiri

Satu video tular daripada rakaman papan pemuka menunjukkan sebuah lori mengundur secara tiba-tiba di Jalan Bukit Pantai, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Satu video tular daripada rakaman papan pemuka menunjukkan sebuah lori mengundur secara tiba-tiba di Jalan Bukit Pantai, Kuala Lumpur pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gara-gara tidak menarik brek tangan dengan sempurna menyebabkan sebuah lori membawa muatan batu bergerak mengundur secara mengejut.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, lori membawa muatan batu-batuan itu telah bergerak secara mengundur tanpa pemandu di Jalan Bukit Pantai, berhadapan dengan Syarikat Air Selangor, Bangsar di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian jam 4.20 petang itu berlaku apabila pemandu yang merupakan seorang lelaki warganegara tempatan telah parkir sebentar lori yang mempunyai muatan batu-batuan itu dalam keadaan enjin masih hidup.

"Pemandu berusia 64 tahun telah parkir lori dipandunya di hadapan pondok pengawal TNB Bangsar untuk bertanyakan tempat pembuangan batu.

"Tiba-tiba lori itu telah mengundur secara sendiri, lalu melanggar tiang dan pagar Syarikat Air Selangor.

"Punca kejadian adalah disebabkan pemandu tidak menarik brek tangan dengan sempurna dan keadaan jalan yang berbukit," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kata beliau, akibat daripada perlanggaran itu, tiang penahan pagar Syarikat Air Selangor telah kemek.

Menurutnya, pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan dan perlanggaran tersebut tidak melibatkan kenderaan lain.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes diklasifikasikan di bawah Peraturan 14(1)(a), LN 166/59 oleh JSPT Kuala Lumpur.

Tambahnya, semua pemandu dinasihatkan untuk memeriksa dengan teliti sebelum meninggalkan kenderaan masing-masing, supaya kemalangan seumpama itu tidak berlaku.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline balai polis trafik di talian 03-20260267/69 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!