Remaja OKU hilang sejak Jumaat lalu

Nurul Dania Balqis hilang sejak Jumaat lalu.
Nurul Dania Balqis hilang sejak Jumaat lalu.
A
A
A

BESUT - Seorang remaja orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran berusia 16 tahun dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu.

Ibunya, Noor Hayuni Mohd Noor, 42, menyatakan kali terakhir anaknya, Nurul Dania Balqis Stimat dilihat masih berada di rumah bersama ahli keluarganya di Kampung Pengkalan Sentul, Seberang Jertih, di sini pada malam Khamis.

Bagaimanapun, Noor Hayuni memaklumkan sebelum kejadian kehilangan anaknya itu berlaku sedikit selisih faham antara Nurul Dania Balqis bersama adik lelakinya, namun kebiasaan pergaduhan itu tidak berpanjangan.

"Kali terakhir anak saya dilihat masih berada di rumah bersama datuk, nenek serta dua adiknya pada malam Khamis.

"Ini kali pertama dia keluar rumah tanpa pengetahuan sesiapa.

"Kemungkinan pada malam itu dia keluar antara jam 12 malam hingga 1 pagi Jumaat ketika semua orang di rumah sudah tidur.

"Kehilangan Nurul Dania Balqis hanya disedari pada pagi Jumaat apabila adik perempuannya masuk ke bilik dan mendapati dia sudah tiada di rumah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Noor Hayuni berkata, dia bersama ahli keluarga lain telah mencuba pelbagai cara untuk mencari Nurul Dania Balqis termasuk membuat laporan polis.

Artikel Berkaitan:

"Kami sekeluarga sangat risau sebab hari ini (Ahad) dia masih belum ditemui. Satu laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Jertih pada petang Sabtu.

"Kami sudah berusaha mencari sekitar kawasan berhampiran kampung serta sekitar daerah Besut malah bertanya kepada kawan-kawan mengenai keberadaan dia, namun semuanya tidak tahu dia ada di mana

"Jadi kami mohon jasa baik sesiapa ternampak Nurul Dania Balqis dengan segera menghubungi balai polis berhampiran," ujarnya.

Noor Hayuni turut yakin anak perempuannya itu tidak pergi jauh dan berdoa semoga dia dapat ditemui dengan keadaan selamat.

"Setakat ini nombor telefon anak saya masih berfungsi tetapi panggilan tidak berjawab serta tiada respons menerusi kiriman mesej dihantar menerusi WhatsApp.

"Saya berdoa semoga anak saya dapat ditemui segera dan dia dijumpai dalam keadaan sihat dan selamat," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!